PETALING JAYA: Kemusnahan infrastruktur di Semenanjung Gaza yang kini mencapai 75 peratus mungkin akan mengambil masa 10 tahun untuk dibangun dan didiami semula.
Kerakusan rejim Zionis melancarkan serangan bom bertali arus sejak 7 Oktober tahun lalu terhadap kediaman, hospital, sekolah, masjid, gereja, universiti, kemudahan awam, bangunan kerajaan bahkan tanah pertanian menyebabkan Gaza kini seperti padang jarak, padang tekukur.
Sehingga semalam, sebanyak 355,000 separa kediaman musnah dibedil tentera Israel dengan lebih 67,000 lagi musnah sepenuhnya. Jumlah itu merangkumi 70 peratus daripada keseluruhan unit kediaman di wilayah bergolak tersebut.
Pada masa sama, dianggarkan 88 peratus daripada bangunan sekolah dan universiti di Gaza turut terjejas merangkumi sebanyak 385 daripada infrastuktur tersebut mengalami kerosakan teruk dengan 93 lagi musnah sepenuhnya.
Bukan itu sahaja, lebih 126 bangunan kerajaan dan kemudahan awam, masjid (120), gereja (3), kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (180), fasiliti perindustrian (1,592) dan lebih 11,120 ekar tanah pertanian turut mengalami kemusnahan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, beliau menjangkakan pembangunan semula Gaza mengambil masa sehingga 10 tahun bergantung kepada intervensi dan respon negara Islam untuk menghulurkan bantuan.
Pada masa sama, beliau berkata, Israel juga perlu diberi tekanan untuk menarik balik sekatan dikenakan terhadap Gaza supaya akses kepada semua keperluan pembangunan dapat diberikan.
“Kita perlu tahu bahawa kemusnahan dibawa Israel amat teruk, hampir 75 peratus infrastruktur di Gaza musnah, jalan raya dibedil. Tidak ada yang terkecuali termasuk hospital, sekolah, universiti, kediaman dan sebagainya.
“Bagaimanapun, rakyat Palestin di Gaza kebanyakannya adalah mereka yang mahir membina namun bantuan seperti jentera, mesin dan bahan pembinaan amat diperlukan daripada negara Islam dan lain-lain untuk membangunkannya semula,” kata beliau.- UTUSAN










