PETALING JAYA: Gabungan pemain daripada skuad Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dan 2026 bersama beberapa pemain senior menjadi ramuan kejayaan Johor menjuarai kategori Lelaki Terbuka pada Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Kebangsaan (National 7s) 2026, pada Ahad.
Kekuatan gabungan dua generasi itu terbukti apabila Johor menewaskan Selangor 10-5 dalam aksi final di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail kelmarin, sekali gus menebus kekecewaan selepas terkandas pada perlawanan akhir edisi tahun lalu.
Ketua jurulatih Johor, Mohd Saizul Hafifi Md Noor berkata, kejayaan itu cukup bermakna kerana pasukan berkenaan dibarisi pemain daripada dua skuad SUKMA serta pemain senior negeri yang masih aktif beraksi.
Menurutnya, gabungan pemain daripada skuad SUKMA 2024 dan 2026 bersama pemain senior Johor memberikan kekuatan kepada pasukan untuk menghadapi cabaran sepanjang kejohanan.
“Perasaan saya bercampur baur, gembira dan terharu oleh kemenangan ini. Tahun lepas kami berada di final, tapi terkandas. Alhamdulillah tahun ini kami kembali ke final dan menang.
“Yang paling terharu, pasukan ini gabungan dari pasukan SUKMA 2024 dan 2026 serta pemain senior Johor yang masih aktif bermain,” katanya.
Beliau mengakui Selangor bukan lawan mudah, lebih-lebih lagi selepas pasukan itu berjaya menewaskan Kelantan pada peringkat kumpulan meskipun Johor turut pernah mengatasi mereka dalam saingan sama.
“Disebabkan itu, pemain memberikan sepenuh hati pada perlawanan akhir dan tidak memandang rendah kemampuan mereka.
“Kami bermain secara tenang dengan mengawal keadaan dan Alhamdulillah, perancangan itu berjaya,” katanya.
Kejayaan Johor dalam kategori Lelaki Terbuka melengkapkan dominasi mereka pada National 7s 2026 apabila turut merangkul kejuaraan Lelaki Bawah 20 Tahun (B20) dan Wanita B20, manakala Terengganu muncul juara Wanita Terbuka.
KAPSYEN
JOHOR menewaskan Selangor 10-5 pada perlawanan akhir Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Kebangsaan di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Terengganu, Ahad lalu. – IHSAN MALAYSIA RUGBY











