PETALING JAYA: Polis akan membuka kertas siasatan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa berhimpun bagi menunjukkan bantahan terhadap tindakan serangan Israel terhadap Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat hari ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihak polis akan memanggil penganjur perhimpunan berkenaan bagi diambil keterangan.
Beliau berkata, bagaimanapun, satu laporan polis akan dibuat oleh Ketua Balai Pudu yang turut berada di lokasi tersebut bagi pihaknya menjalankan siasatan.
“Pemeriksaan awal mendapati seramai 20 hingga 25 orang hadir di situ kira-kira pukul 1.45 petang hingga 2 petang bagi menyerahkan memorandum namun pihak kedutaan enggan menerima.
“Jadi mereka berada di sana sekitar 20 minit bagi melepaskan geram terhadap isu tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Pengguna Semboyan 1Malaysia berhimpun di hadapan Kedutaan AS bagi memprotes tindakan serangan Israel terhadap Palestin.
Pengerusinya, Yusuf Azmi berkata, tujuan perhimpunan bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap kekejaman Israel terhadap Palestin namun pihak kedutaan enggan menerima.
“Sebaliknya Kedutaan AS turut membuat laporan polis dahulu. Kami juga gagal mendapatkan kebenaran Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.
“Ya Allah, lumpuhkanlah segala rancangan dan serangan musuh-musuh kami, tunjukkanlah kekuasaanMu dan kalahkanlah zionis laknatullah ini. Menangkan dan bebaskan bumi Palestin,” ujarnya.- UTUSAN










