Zarif Ghazzi nafi terlibat dakwaan salah laku di set penggambaran - Pengurusan - Utusan Malaysia

Zarif Ghazzi nafi terlibat dakwaan salah laku di set penggambaran – Pengurusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengurusan pelakon, Zarif Ghazzi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan artis berkenaan susulan penyebaran isu yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

Menerusi satu kenyataan rasmi, pihak pengurusannya memaklumkan bahawa Zarif tidak pernah melakukan sebarang perbuatan seperti yang didakwa, selain menegaskan pendiriannya berhubung perkara tersebut.

Menurut kenyataan itu, pihak pengurusan memandang serius segala dakwaan yang tersebar, termasuk maklumat yang didakwa merujuk kepada pelakon berkenaan sama ada secara langsung mahupun menerusi penyebaran berbentuk sindiran atau innuendo.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pertama sekali, pihak pengurusan Zarif Ghazzi mengambil maklum dan memandang serius isu serta dakwaan yang sedang diperkatakan melibatkan artis di bawah pengurusan kami.

“Untuk makluman, Zarif Ghazzi dengan tegas menafikan sebarang dakwaan salah laku yang dikaitkan atau yang mungkin ditafsirkan sebagai merujuk kepada dirinya, sama ada secara langsung, tidak langsung mahupun melalui sebarang bentuk innuendo.

“Zarif menegaskan bahawa dia tidak pernah melakukan sebarang perbuatan seperti yang didakwa dan kekal dengan pendirian tersebut,” menurut kenyataan itu.

Susulan dakwaan berkenaan, pihak pengurusan turut mengesahkan satu laporan polis sudah dibuat, manakala wakil peguam dilantik bagi mendapatkan nasihat serta meneliti tindakan perundangan yang bersesuaian.

Pada masa sama, pihak pengurusan menegaskan bahawa setiap dakwaan perlu dinilai secara adil berdasarkan fakta dan bukti yang relevan, tanpa sebarang kesimpulan dibuat lebih awal.

“Pihak pengurusan sentiasa menjunjung tinggi prinsip profesionalisme, rasa hormat dan keselamatan setiap individu dalam industri seni dan hiburan.

“Pada masa yang sama, setiap dakwaan perlu dinilai secara adil berdasarkan fakta dan bukti yang relevan tanpa membuat sebarang kesimpulan awal.

“Kami menyeru semua pihak, termasuk pihak media dan masyarakat, agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi, maruah dan hak mana-mana individu yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, pihak pengurusan memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu proses siasatan.

Bagaimanapun, sebarang ulasan lanjut berhubung isu tersebut tidak akan dibuat buat masa ini memandangkan perkara berkenaan sudah diserahkan kepada pihak berkuasa dan saluran perundangan sewajarnya.

“Pihak kami bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu proses siasatan. Buat masa ini, kami menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa dan saluran perundangan yang sewajarnya.

“Sehubungan itu, pihak kami tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara yang masih dalam penelitian.

“Kami menghargai perhatian dan sokongan semua pihak serta berharap agar proses sewajarnya diberikan ruang untuk berjalan secara adil dan profesional,” menurut kenyataan itu lagi.

Terdahulu, seorang pelakon wanita mencetuskan kekecohan di media sosial mengaitkan isu gangguan seksual  di set penggambaran.

Mendapat perhatian warganet, isu itu kononnya berkait dengan Zarif yang ketika ini menjalani penggambaran untuk sebuah drama tempatan bersamanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini