Matrix Concepts bangunkan pusat penjagaan kejururawatan di Sendayan - Utusan Malaysia

Matrix Concepts bangunkan pusat penjagaan kejururawatan di Sendayan

KELVIN Lee (tiga dari kiri) dalam Majlis pecah tanah membangunkan Pusat Penjagaan kejururawatan AVIDA Mercy di Suria Heights, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) bekerjasama dengan Alpro Group dan Mercy Senior Care Centre Sdn. Bhd. membangunkan Pusat Penjagaan Kejururawatan AVIDA Mercy di Suria Heights, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan. 

Projek yang dimulakan menerusi majlis pecah tanah pada 7 November itu bakal menyediakan lebih 130 katil bagi memenuhi keperluan perkhidmatan penjagaan kejururawatan khusus, pemulihan dan penjagaan jangka panjang.

Pusat berkenaan dijangka siap dibina pada November 2027 dan mula beroperasi pada suku pertama 2028, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

Memuatkan artikel berkaitan…

Kemudahan itu dirancang untuk menyediakan perkhidmatan pemulihan selepas pembedahan, penjagaan pesakit terlantar, pemulihan mangsa kemalangan serta pemantauan perubatan berterusan bagi individu yang memerlukan rawatan susulan selepas keluar hospital.

Pembangunan tersebut turut menyasarkan operasi sebagai fasiliti penjagaan kejururawatan berdaftar dengan KKM, sekali gus memperluas akses masyarakat kepada perkhidmatan penjagaan profesional dan pemulihan khusus.

Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad, Kelvin Lee berkata, pembangunan pusat itu mencerminkan komitmen syarikat untuk memperluas kemudahan dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan penduduk seiring perkembangan Bandar Sri Sendayan.

Katanya, sepanjang 30 tahun lalu, pembangunan sesebuah bandar tidak lagi hanya tertumpu kepada penyediaan kediaman dan bangunan, sebaliknya perlu merangkumi kemudahan yang membolehkan masyarakat menjalani kehidupan lebih selesa.

“Penambahan pusat penjagaan kejururawatan ini menyediakan satu lagi perkhidmatan penting kepada penduduk dan keluarga mereka.

“Kami berbesar hati bekerjasama dengan Alpro Group dan Mercy Senior Care Centre bagi merealisasikan kemudahan ini untuk masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Kerjasama tiga pihak itu menggabungkan kepakaran masing-masing dalam pembangunan bandar, perkhidmatan kesihatan serta pengurusan penjagaan kejururawatan.

Matrix Concepts menyumbang pengalaman dalam pembangunan bandar dan menyediakan lokasi projek di Suria Heights, manakala Alpro Group membawa rangkaian kepakaran kesihatan merangkumi doktor, ahli farmasi, ahli fisioterapi, pakar dietetik dan profesional kesihatan bersekutu.

Mercy Senior Care Centre pula menyumbang kepakaran serta pengalaman dalam pengurusan operasi penjagaan kejururawatan.

Sementara itu, Pengarah Perubatan Alpro Group, Dr. Ng Ming Lee berkata, keperluan penjagaan pesakit tidak berakhir sebaik sahaja mereka dibenarkan keluar hospital kerana proses pemulihan lazimnya berterusan di rumah.

Katanya, pusat itu akan menghimpunkan doktor, ahli farmasi, ahli fisioterapi dan petugas kejururawatan bagi membantu pesakit meneruskan proses pemulihan serta meningkatkan tahap keupayaan mereka untuk berdikari.

“Matlamat kami adalah membantu setiap individu memperoleh semula tahap kebebasan yang maksimum, memelihara maruah mereka dan memberikan keyakinan kepada keluarga bahawa insan tersayang menerima penjagaan sewajarnya,” katanya.

Pengarah Urusan Mercy Senior Care Centre, Sr. Cynthia Low Chee Moi pula berkata, pusat berkenaan diwujudkan bagi memenuhi peningkatan keperluan terhadap penjagaan selepas hospital, pemulihan dan penjagaan warga emas.

Menurutnya, kemudahan itu berperanan merapatkan jurang antara rawatan hospital dengan penjagaan di rumah menerusi sokongan kejururawatan profesional dan perkhidmatan pemulihan.

Bandar Sri Sendayan yang dibangunkan Matrix Concepts kini merangkumi kawasan seluas lebih 6,800 ekar dengan pembangunan merangkumi kawasan kediaman, komersial, institusi pendidikan, kemudahan kesihatan, rekreasi dan perindustrian.

Pembangunan AVIDA Mercy Nursing Care Centre dilihat sebagai usaha memperluas ekosistem perkhidmatan bandar berkenaan, khususnya dalam memenuhi keperluan penjagaan kesihatan masyarakat yang semakin berkembang.

Projek itu turut mencerminkan hala tuju Matrix Concepts sempena ulang tahun ke-30 penubuhannya menerusi tema ‘People. Progress. Tomorrow.’, dengan tumpuan terhadap pembangunan komuniti yang berkembang seiring perubahan keperluan penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini