72 rakyat Malaysia jadi ‘hamba’ scam di India

72 rakyat Malaysia jadi ‘hamba’ scam di India

SEORANG lelaki ditahan pihak berkuasa Delhi bagi membantu siasatan.-UNIT CAWANGAN KHAS POLIS DELHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 72 rak­yat Malaysia yang dikurung dan dipaksa menjadi pekerja sin­diket penipuan siber antarabangsa di New Delhi, India berjaya diselamatkan oleh pihak po­lis negara itu, semalam.

Mereka antara 164 warga asing termasuk 92 rakyat Indonesia yang diselamatkan dalam operasi khas Cawangan Jenayah Polis Delhi selepas menerima mak­lumat risikan berhubung ke­giatan sindiket terbabit sejak minggu lalu.

Pegawai Polis Delhi Cawangan Jenayah, Inspektor Manmeet Malik berkata, semua mangsa dipercayai diperdaya menerusi tawaran pekerjaan dalam bidang multimedia dan pemasaran dengan menjanjikan gaji lumayan di media sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sebaik tiba di India pada awal Ogos lalu, pasport mangsa dirampas manakala pergerakan mereka dikawal sebelum dipaksa menjalankan kegiatan penipuan siber dengan menyasarkan rakyat negara asal masing-masing.

“Mangsa dipercayai ditempatkan di rumah penginapan sebelum dipaksa bekerja dalam operasi penipuan yang menawarkan skim pelaburan palsu.

“Kegiatan sindiket terbabit terbongkar selepas Cawangan Jenayah Delhi menerima emel amaran mengenai kewujudan operasi perhambaan siber itu kira-kira seminggu lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 13 Ogos lalu, akhbar ini mendedahkan seorang rakyat Malaysia, Muhammad Shafiq Bahri Mohd. Saifol Bahri, 31, yang mendakwa ber­jaya melarikan diri daripada sindiket terbabit sebelum mendapatkan bantuan pihak berkuasa dan Suruhanjaya Ting­gi Malaysia di New Delhi.

Mangsa juga mendakwa me­­reka diminta membayar se­­hingga RM20,000 kepada sin­diket sekiranya mahu mendapatkan semula pasport ma­sing-masing.

Dalam pada itu, Manmeet berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari di sebuah premis yang dijadikan pejabat bagi menjalankan aktiviti jenayah penipuan itu.

Katanya, pihak polis turut menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia 25 tahun dari Negeri Sembilan bagi membantu siasatan berhubung kes pemerdagangan manusia antarabangsa dan penipuan siber itu.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati semua rakyat Malaysia terbabit memiliki pasport yang sah dan ada antara mereka tiba di negara itu sejak dua hingga tiga bulan lalu.

“Siasatan mendapati rakyat Malaysia terbabit dihantar ke Kemboja terlebih dahulu untuk menjalani latihan sebelum dibawa ke India,” katanya.

Tambahnya, kesemua rakyat Malaysia terbabit berada dalam keadaan selamat dan kini berada di bawah jagaan pihak berkuasa.

Menurut beliau, proses penghantaran mereka pulang ke Malaysia sedang diuruskan namun ia memerlukan sedikit masa berikutan pihaknya perlu mengambil keterangan daripada kesemua individu terbabit.

“Siasatan lanjut masih berjalan, tiada tempoh khusus bila mereka semua akan dibawa pulang ke Malaysia,” jelasnya

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan Kementerian Luar bagi membantu melancarkan urusan membawa pulang semua rakyat Malaysia terbabit.

Beliau berkata, kerjasama antara kedua-dua agensi itu penting bagi memastikan urusan berkaitan dokumentasi dan perjalanan pulang mangsa dapat diselaraskan dengan sewajarnya.

“Setakat ini, kita masih menunggu permohonan daripada pihak Kedutaan Malaysia di negara berkenaan sebelum tindakan selanjutnya dapat diambil,” katanya ketika dihubungi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini