Tiga maut kemalangan tiga kenderaan di Pekan - Utusan Malaysia

Tiga maut kemalangan tiga kenderaan di Pekan

KEADAAN kereta Honda Civic yang terlibat kemalangan di kilometer 67 Jalan Kuantan-Segamat di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Tiga individu termasuk kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta jenis Honda Civic, Toyota Alphard dan Isuzu Dmax di kilometer 67 Jalan Kuantan-Segamat di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu, mangsa yang maut, pemandu kereta jenis Honda Civic, Mohamad Zekry Zuhairy Mohd. Atan, 33 dan anak perempuannya berusia dua tahun, Dhea Sofia. Turut maut pemandu Toyota Alphard, Azaharuddin Mohd. Ali, 46.

Enam lagi mangsa membabitkan ketiga-tiga kenderaan cedera dan dirawat di Hospital Pekan.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati, kereta Honda Civic dan Toyota Alphard dari arah Segamat menghala ke arah Kuantan manakala kenderaan pacuan empat roda (4×4), Isuzu Dmax dari Kuantan menghala ke Muadzam Shah.

“Apabila sampai dilokasi kemalangan, Isuzu Dmax cuba memotong sebuah lori di garisan zibra. Semasa memotong, 4×4 terbabit melanggar lopak air lalu hilang kawalan, memasuki lalulan bertentangan dan selepas itu bertembung dengan Honda Civic dan Toyota Alphard.

“Akibat pertembungan, pemandu Honda Civic dan Toyota Alphard disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Penumpang Honda Civic yang juga anak kepada pemandu kereta itu disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Chini.

“Pemandu Isuzu Dmax dan penumpang lain kereta Honda Civic dan Toyota Alphard dibawa ke Hospital Pekan untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zaidi berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada pemandu Isuzu Dmax yang cuai semasa memandu sehingga menyebabkan kemalangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN