KUALA LUMPUR: Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bakal menganjurkan At-Taqwa Unity Fund Run 2026 pada 13 Disember ini dengan menawarkan dua kategori larian sejauh tiga kilometer (3km) dan enam kilometer (6km).
Pengerusinya, Datuk Mohd Fadzli Yusof berkata, program bertemakan ‘Satu Langkah, Seribu Kecergasan’ itu bukan sekadar menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform menyemai perpaduan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti.

Beliau berkata, penganjuran program berkenaan turut menggabungkan elemen kesukanan dan kerohanian bagi mewujudkan pengisian bermanfaat kepada masyarakat pelbagai peringkat usia.
“Matlamat kami bukan sekadar mengajak masyarakat menyertai aktiviti larian, tetapi turut menyemai semangat perpaduan, ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan komuniti menerusi program yang menggabungkan elemen kesihatan dan kerohanian,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Bagi kategori 6km, larian dijadualkan bermula pada pukul 7.30 pagi, manakala kategori 3km akan dilepaskan 15 minit kemudian sebelum keseluruhan program berakhir pada pukul 10 pagi.
Selain aktiviti larian, peserta turut berpeluang menyertai pelbagai pengisian menarik termasuk solat Subuh berjemaah, tausiah khas oleh Mufti Wilayah Persekutuan, sesi Zumba serta cabutan bertuah.
Gabungan aktiviti berkenaan dijangka menarik penyertaan keluarga, golongan belia dan masyarakat setempat sekali gus menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti komuniti yang lebih inklusif.
Dalam pada itu, sebahagian kutipan daripada yuran penyertaan dan sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada dana operasi, pembangunan serta aktiviti pengimarahan Masjid At-Taqwa TTDI.
Mohd Fadzli berkata, pihaknya berharap penganjuran program itu dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat menyumbang kepada pembangunan masjid menerusi penglibatan dalam aktiviti yang memberi manfaat bersama.
“Melalui penganjuran ini, kami berharap lebih ramai masyarakat tampil bersama-sama menjayakan aktiviti yang bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan, malah menyumbang kepada pembangunan dan pengimarahan masjid,” katanya.
Orang ramai yang berminat menyertai At-Taqwa Unity Fund Run 2026 boleh membuat pendaftaran sebelum tarikh tutup pada 30 November ini.
Pengambilan kit perlumbaan pula dijadualkan berlangsung pada 12 Disember, bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang di Masjid At-Taqwa TTDI.
Penganjuran program itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembudayaan gaya hidup aktif selain memperkukuh ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat menerusi aktiviti sukan berteraskan komuniti.-UTUSAN











