NEW DELHI: Kira-kira 400,000 tetamu menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan seorang ahli politik di negeri Bihar, India sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk dan orang ramai memanjat tiang elektrik untuk menyaksikan kemeriahan majlis itu.
Anant Singh, bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pernah dipilih sebanyak enam kali dan berdepan puluhan kes jenayah termasuk tuduhan membunuh, menjemput penduduk kampung, sekutu politik serta tetamu kenamaan ke majlis berkenaan pada 25 November lalu.
Majlis yang berlangsung di negeri termiskin di India itu diadakan secara besar-besaran, sekali gus mengatasi kebiasaan majlis perkahwinan mewah di negara berkenaan yang biasanya berlangsung selama beberapa hari.
Menurut orang kepercayaan Singh, Munna Singh, tetamu dihidangkan dengan 500,000 biji manisan tradisional serta jamuan vegetarian yang disediakan oleh kira-kira 500 tukang masak dan cef, lapor AFP.
Majlis yang berlangsung di kampung halaman Singh di Nadawan itu menarik kehadiran orang ramai sehingga menyebabkan jalan raya menuju ke lokasi berkenaan sesak teruk.
Seorang ahli politik yang gagal meredah kesesakan lalu lintas dilaporkan meninggalkan keretanya sebelum menaiki traktor merentasi kawasan pertanian untuk tiba di lokasi majlis, menurut laporan Times of India.
Penganjur turut membina lima kawasan pendaratan helikopter bagi membawa tetamu kenamaan ke lokasi majlis. Setiap kali helikopter mendarat, kepulan debu berterbangan sehingga menyelubungi orang ramai yang berkumpul untuk menyaksikan ketibaan tetamu.
Gambar yang diterbitkan agensi berita Press Trust of India (PTI) menunjukkan ribuan orang bersesak-sesak untuk melihat kawasan majlis yang luas, manakala sebahagian mereka sanggup bertenggek di atas pokok dan menara elektrik.
Penganjur terpaksa menangguhkan acara lumba kuda yang dijadualkan berlangsung sebagai sebahagian daripada sambutan itu selepas kira-kira 100,000 orang hadir untuk menyaksikan pertandingan membabitkan 200 ekor kuda.
Menurut firma perunding KPMG, lebih 10 juta majlis perkahwinan diadakan di India setiap tahun, sekali gus menyumbang kepada industri perkahwinan yang dianggarkan bernilai AS$40 bilion (RM164bilion) hingga AS$50 bilion (RM205 bilion).








