KUALA LUMPUR: Sebanyak 820 pemilik akaun keldai serta ahli sindiket penipuan e-dagang berjaya diberkas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Merpati Khas 01/2025 bermula 2 hingga 12 September lalu.
Operasi khas yang dijalankan secara menyeluruh di seluruh negara itu dilaksanakan oleh Bahagian Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi membanteras peningkatan kes jenayah penipuan berasaskan e-dagang yang semakin membimbangkan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, operasi itu turut menumpukan kepada aktiviti serbuan, tangkapan dan rampasan terhadap ahli sindiket yang terlibat dalam pelbagai peranan termasuk pemilik akaun keldai, pencari kad ATM, pengeluar wang serta pengendali pusat panggilan (call centre) penipuan dalam talian.
Katanya, seramai 790 pemilik akaun keldai ditahan manakala 30 lagi turut diberkas kerana dipercayai mengendalikan pusat panggilan penipuan e-dagang yang beroperasi di beberapa negeri di seluruh negara.
“Kesemua tangkapan itu melibatkan 660 kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM11.59 juta.
“Daripada jumlah keseluruhan tangkapan, seramai 475 lelaki dan 315 wanita termasuk empat warga asing yang ditahan berusia lingkungan 30 hingga 40-an,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK di sini, hari ini.
Menurutnya, dalam tempoh Januari hingga Mei lalu, sebanyak 4,242 kertas siasatan dibuka berkaitan kes penipuan e-dagang, dengan kerugian keseluruhan mencecah RM54.13 juta.
“Daripada 660 kertas siasatan yang dibuka, sebanyak 275 telah dituduh manakala 115 masih dalam siasatan.
“Sebanyak 176 kertas siasatan masih dalam Timbalan Pendakwa Raya dan 94 lagi mendapat arahan tuduh,” katanya.
Rusdi berkata, Op Merpati Khas merupakan sebahagian daripada siri tindakan berterusan bagi mematahkan rangkaian penipuan dalam talian, di mana akaun bank tempatan sering digunakan untuk menerima wang mangsa sebelum dipindahkan ke akaun lain atau ke luar negara.
“JSJK akan terus mempergiat operasi dan pemantauan, termasuk kerjasama dengan institusi kewangan bagi mengesan dan membekukan akaun yang disyaki digunakan untuk aktiviti penipuan.
“Orang ramai turut diingatkan supaya tidak meminjamkan atau menjual akaun bank kepada mana-mana individu atau pihak tidak dikenali, kerana tindakan itu boleh menyebabkan mereka disiasat dan didakwa sebagai rakan subahat jenayah penipuan,” katanya. – UTUSAN








