TAPAH: Pengurusan kawasan rekreasi Air Terjun Lata Kinjang di sini mengambil pelbagai langkah keselamatan termasuk membunyikan siren amaran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, khususnya tragedi kepala air yang boleh mengancam nyawa pengunjung.
Kawasan rekreasi itu diuruskan Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB) dengan dibantu 20 kakitangan sepenuh masa yang terdiri daripada anggota koperasi dan penduduk Kampung Orang Asli Lata Kinjang.
Tok Batin Kampung Orang Asli Lata Kinjang, Rani Bah Ulin berkata, semua kakitangan terbabit telah mengikuti kursus asas keselamatan dalam air yang dikendalikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurutnya, antara langkah utama yang dilaksanakan ialah menutup kawasan air terjun sekiranya hujan turun atau paras air sungai masih tinggi selepas hujan.
“Jika hujan, kami akan mengambil langkah keselamatan dengan membunyikan siren sebagai amaran kepada semua pengunjung.
“Kakitangan juga akan membawa wisel atau pembesar suara untuk meminta pengunjung tidak mandi atau berada di dalam sungai dan segera keluar dari kawasan Lata Kinjang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Beliau berkata, tindakan itu penting bagi memastikan pengunjung menyedari risiko kepala air dan segera berpindah ke kawasan lebih selamat sebelum keadaan menjadi semakin berbahaya.
Katanya, kakitangan koperasi turut ditempatkan di kawasan air terjun bagi memantau keadaan sungai serta keselamatan pengunjung sehingga kawasan rekreasi itu ditutup pada pukul 6 petang setiap hari.
“Kakitangan kami sudah biasa dengan keadaan sungai sama ada selamat atau sebaliknya kerana mereka dilahirkan dan membesar di kawasan ini.
“Pengalaman itu membantu mereka mengenali perubahan keadaan air sungai dan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat tanda-tanda bahaya,” katanya.
Beliau berkata, pengunjung juga perlu sentiasa mematuhi arahan kakitangan dan tidak mengambil mudah setiap amaran yang diberikan.
Menurutnya, pihak koperasi berbangga kerana kakitangan dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang mempunyai pengalaman luas mengenai keadaan sungai turut diberikan latihan keselamatan sebelum memulakan tugas.
“Setiap kakitangan akan diberikan taklimat sebelum bertugas kerana bagi kami, keselamatan dan nyawa pengunjung perlu menjadi keutamaan ketika beriadah di kawasan air terjun,” katanya. – UTUSAN








