Najib ke Langgak Duta serta-merta

Najib ke Langgak Duta serta-merta

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah secara serta merta.

Tahanan di rumah tersebut selepas Najib, 73, membayar denda RM50 juta susulan pengampunan bersyarat berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin memerintahkan sedemikian selepas membatalkan perintah pelepasan bertarikh 6 November lalu dan mengeluarkan perintah pelepasan baharu terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“​Perintah pelepasan atas pembayaran denda bagi ‘order of discharge on payment of fine’ bertarikh 6 November 2026, dengan ini dibatalkan dan digantikan sepenuhnya dengan perintah ini.

“​Selaras dengan perintah pengampunan bersyarat, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan itu secara tahanan di rumah di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib berhujah bahawa pembayaran denda tersebut hanya melepaskan Najib daripada liabiliti denda dan hukuman pemenjaraan tambahan selama setahun akibat ingkar pembayaran.

Katanya, perintah pelepasan itu mengandungi kesilapan teknikal itu memberi gambaran salah seolah-olah baki hukuman penjara SRC telah tamat sepenuhnya, sekali gus bertentangan dengan Perintah Pengampunan Bersyarat Yang di-Pertuan Agong bertarikh 18 September 2026.

Bagaimanapun, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib berhujah, pihaknya memahami perintah yang dikeluarkan sebelum ini adalah berkaitan pembayaran denda dan sudah memaklumkan kepada pihak Penjara Kajang.

Katanya, pihak pembelaan juga tidak mempunyai masalah dengan draf perintah berkenaan kecuali terdapat beberapa kesalahan kecil dari segi penulisan.

Tambah Muhammad Shafee, pelaksanaan tahanan di rumah itu sepatutnya berkuat kuasa serta-merta sejurus denda diselesaikan tanpa perlu menunggu perintah baharu daripada mahkamah.

Pada 6 November lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah itu demi mendapatkan penjelasan kehakiman mengenai tafsiran sebenar Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Langkah tersebut diambil susulan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang membangkitkan kekhilafan teknikal pada Perintah Pelepasan yang dikeluarkan mahkamah sebelum ini.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa.

Sabitan dan hukuman itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 sebelum Najib mula menjalani hukuman penjara pada hari sama.

Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan pada 2 Februari 2024 mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini