Hotspot banjir di Pahang dipantau

Hotspot banjir di Pahang dipantau

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pejabat daerah di seluruh Pahang diminta mengenal pasti serta memantau hotspot banjir, khususnya laluan jalan raya yang sering dinaiki air dan kawasan cerun berisiko Monsun Timur Laut (MTL).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, kerajaan negeri meminta JKR mengambil perhatian serius terhadap aspek keselamatan jalan raya termasuk memastikan keadaan cerun sentiasa dipantau bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh.

Beliau berkata, JKR turut melaksanakan kerja pembersihan longkang di tepi jalan menerusi pendekatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik ketika hujan lebat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pejabat daerah dan JKR juga diminta mengenal pasti kawasan yang sering dinaiki air, termasuk laluan jalan kampung di luar Kuantan supaya langkah pemantauan dapat dilakukan lebih awal,” katanya kepada media selepas Program Destinasi Makan-Makan Selamat Pahang 2026 di Dewan Tun Razak di sini petang ini.

Dalam masa sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta memastikan kerja pembersihan anak sungai dilaksanakan secara berterusan bagi melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko limpahan sungai.

Mengulas perkembangan perkhidmatan kesihatan, Razali berkata, Pahang dijangka menerima kira-kira 70 hingga 77 ambulans baharu daripada 400 buah seluruh negara pada tahun depan bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan kecemasan di seluruh negeri.

Katanya, kerajaan negeri telah melaksanakan pemetaan menyeluruh terhadap jumlah ambulans sedia ada, lokasi penempatan, beban tugas operasi serta keperluan pemandu bagi memastikan aset baharu itu diagihkan mengikut keperluan.

“Penambahan ambulans ini tidak diterima secara pukal sebaliknya secara berperingkat. Kita sudah mengenal pasti lokasi penempatan serta keperluan pemandu supaya masalah kekurangan ambulans dapat diatasi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini