PETALING JAYA: Malaysia kekal bersedia menghulurkan bantuan kepada Indonesia bagi mengatasi kebakaran hutan yang mengakibatkan jerebu sehingga menjejaskan pelbagai sektor di negara ini termasuk kesihatan dan kehidupan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tawar bantuan itu dibuat atas semangat kejiranan yang menuntut kedua-dua negara saling mendukung ketika berdepan musibah dengan aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat serantau menjadi keutamaan.
Katanya, bantuan Malaysia untuk Indonesia itu kekal seperti yang ditawarkan sebelum ini.
“Saya ikuti rapat perkembangan masalah kebakaran hutan dan lahan di Indonesia yang turut mengakibatkan jerebu rentas sempadan sehingga menjejaskan kesihatan dan kehidupan rakyat Malaysia, termasuk memaksa penutupan sekolah di beberapa negeri dan kawasan.
“Saya memperaku kesungguhan pemerintah Indonesia yang telah mengerahkan puluhan ribu anggota serta pelbagai aset udara bagi membendung permasalahan yang semakin membimbangkan ini.
“Kita sedar bahawa usaha menangani bencana sedemikian bukan suatu tugas yang mudah, apatah lagi dengan keluasan kawasan terjejas dan tantangan cuaca yang tidak menentu,” katanya di Facebook miliknya, malam semalam.
Beliau berkata, atas semangat kebersamaan dan hubungan akrab sesama negara tetangga, Malaysia berpandangan bahawa cabaran rentas sempadan harus ditangani dengan tekad dan tanggungjawab bersama.
“Malah, kita telah pun mengusulkan mekanisme kerjasama di peringkat ASEAN bagi memperkukuh penyelarasan, kesiapsiagaan dan tindakan kolektif dalam menangani jerebu rentas sempadan,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia masih menunggu maklum balas Indonesia berhubung tawaran bantuan memadamkan kebakaran hutan dan tanah di Sumatera dan Kalimantan yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.
Katanya, tawaran itu merangkumi sebuah pesawat bomba, tiga helikopter serta anggota penyelamat.
Tawaran disampaikan ketika beliau bertemu Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Wakil Presiden, Gibran Rakabuming Raka di Jakarta, minggu lalu. – UTUSAN











