Myanmar lakukan genosid terhadap etnik Rohingya - ICJ

Myanmar lakukan genosid terhadap etnik Rohingya – ICJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Khamis memutuskan Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai atau genosid terhadap etnik minoriti Rohingya, dalam keputusan bersejarah yang pertama kali menyatakan sesebuah negara melakukan jenayah berkenaan.

Presiden ICJ, Yuji Iwasawa berkata, Myanmar melakukan genosid terhadap masyarakat Rohingya di utara negeri Rakhine, sekali gus melanggar tanggungjawabnya di bawah Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.

Dengan keputusan 11 undi berbanding empat, mahkamah mendapati Myanmar melanggar kewajipannya untuk menghukum perbuatan genosid dan jenayah lain yang disenaraikan di bawah Artikel Tiga konvensyen berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Iwasawa berkata, Myanmar turut melakukan pemusnahan bukti secara meluas dengan membakar mayat atau melupuskannya melalui kaedah lain.

Tentera negara itu juga membakar dan meratakan kawasan yang menjadi lokasi operasi pembersihan, sekali gus menghalang sebarang siasatan berkesan terhadap kejadian pada 2017.

Beliau berkata, skala serta bentuk tindakan dan kaedah yang digunakan Myanmar jauh melampaui apa yang diperlukan untuk menghukum penduduk, sebaliknya menunjukkan ciri-ciri niat untuk memusnahkan sebahagian besar kumpulan etnik berkenaan.

“Mahkamah berpandangan bahawa satu-satunya kesimpulan munasabah yang dapat menjelaskan tindakan Myanmar ialah wujudnya niat untuk memusnahkan sebahagian besar penduduk Rohingya di utara negeri Rakhine,” katanya.

Mahkamah turut mendapati tentera Myanmar secara aktif menyebarkan dan menggalakkan ucapan kebencian terhadap etnik Rohingya secara sistematik serta terancang ketika operasi pembersihan pada 2017.

ICJ menyatakan terdapat pertindihan antara kempen kebencian anti-Rohingya dengan operasi pembersihan berkenaan.

Iwasawa berkata, ucapan kebencian itu menggambarkan masyarakat Rohingya sebagai tidak setaraf manusia dan ancaman keganasan, sekali gus mewujudkan suasana yang mendorong tindakan menyasarkan kumpulan berkenaan untuk dimusnahkan.

Beliau turut menyentuh kesan sekatan yang dikenakan terhadap masyarakat Rohingya, khususnya berkaitan kadar kelahiran.

Iwasawa berkata, Myanmar melaksanakan perintah di peringkat wilayah yang mewajibkan individu yang digelar sebagai etnik Bengali mendapatkan kebenaran khas untuk berkahwin, selain mengehadkan bilangan anak bagi setiap pasangan kepada dua orang.

“Walaupun dasar itu tidak berjaya menyekat kadar kelahiran Rohingya, Myanmar mengakui langkah berkenaan bertujuan memperlahankan pertambahan kelahiran dalam kumpulan etnik tersebut.

“Dalam keadaan ini, mahkamah yakin perintah itu merupakan langkah paksaan yang ditujukan terhadap masyarakat Rohingya, sekurang-kurangnya bertujuan mengurangkan kelahiran dalam kumpulan berkenaan, termasuk ketika operasi pembersihan dijalankan,” katanya.

Beliau menambah, langkah itu bersama tindakan lain menunjukkan petunjuk niat Myanmar untuk menghalang masyarakat Rohingya daripada terus berkembang melalui kelahiran.

Hakim itu turut merujuk penggunaan keganasan seksual ketika operasi pembersihan yang menurutnya bertujuan menjejaskan keupayaan dan kemahuan penduduk untuk mempunyai zuriat dari segi fizikal serta mental.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini