PETALING JAYA: Usaha merangsang perbelanjaan pelancong asing dalam negara diperkukuh menerusi pengenalan Kad Prabayar Visa Merchantrade Money Visit Malaysia yang menawarkan kemudahan pembayaran tanpa tunai dalam pelbagai mata wang.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd. Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, inisiatif hasil kerjasama Tourism Malaysia dan Merchantrade Asia Sdn. Bhd. itu bertujuan memudahkan urusan transaksi pelancong antarabangsa sekali gus menghubungkan mereka dengan rangkaian peniaga tempatan.
Katanya, kerjasama strategik tersebut sekali gus menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027) menerusi peluasan penggunaan pembayaran digital dalam sektor pelancongan dan peruncitan.
“Kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta merupakan kunci untuk memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama serta memacu pertumbuhan industri yang mampan.
“Jalinan dengan Merchantrade membuktikan bagaimana perkongsian rentas sektor mampu mewujudkan nilai tambah kepada pelawat, perniagaan dan keseluruhan ekosistem ekonomi pelancongan, selaras dengan aspirasi kempen Visit Malaysia 2026–2027,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kad tersebut membolehkan pelancong melakukan pembayaran menerusi rangkaian Visa dan DuitNow QR di seluruh negara, selain menyokong transaksi tanpa sentuh menggunakan Google Wallet serta Samsung Wallet.
Kemudahan itu turut membuka peluang kepada peniaga tempatan dalam sektor hotel, pusat beli-belah, pengangkutan, makanan dan minuman serta tarikan pelancongan untuk menerima transaksi daripada pelawat antarabangsa dengan lebih mudah.-UTUSAN











