SHAH ALAM: Pengurusan kumpulan pendatang seperti pelarian Rohingya perlu dilakukan lebih tersusun menerusi data seperti jumlah, taburan dan keadaan sebenar mereka khususnya di Selangor.
Berdasarkan rekod Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sehingga Februari lalu, kira-kira 215,600 pelarian dan pemohon suaka berdaftar di negara ini, termasuk lebih 126,000 Rohingya.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, ucapan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat semalam menggambarkan keresahan dan realiti semasa pelarian itu serta pemohon suaka di negara ini.
“Isu ini sebenarnya sangat dekat dengan realiti di Selangor. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, saya turut memberikan perhatian khusus kepada keadaan di sekitar Batang Kali dan daripada pemerhatian di lapangan.
“Saya percaya cabarannya mungkin lebih serius di kawasan berkepadatan tinggi seperti Selayang serta beberapa lokasi lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau menambah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Malaysia menjadi negara pertama menghantar pulang etnik dari Myanmar itu pulang ke negara asal mereka.
“Saya menyambut baik penegasan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini apabila Malaysia mencapai langkah penyelesaian awal melalui penghantaran pulang lebih 10,000 warga Myanmar sejak Januari hasil rundingan dengan kerajaan negara berkenaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Saifuddin Shafi memaklumkan beliau akan mengusahakan pemantauan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta UNHCR bagi meneliti data khusus golongan itu di negeri ini.
Malah, beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap kekeliruan tentang kedudukan seseorang di sisi undang-undang apabila terdapat aktiviti penyalahgunaan kad pelarian yang dikeluarkan oleh UNHCR.
“Apa yang dibenarkan dan tidak dibenarkan perlu diperjelaskan kepada pemegang kad, majikan, PBT serta agensi penguat kuasa supaya pemantauan lebih berkesan dan sebarang ruang eksploitasi dapat ditutup.
“Pendekatan kita biarpun tegas, mesti tersusun dan tetap berperikemanusiaan. Kemanusiaan tidak boleh menjadi alasan untuk mengabaikan undang-undang, manakala penguatkuasaan tidak seharusnya dilaksanakan tanpa pengawasan,” jelasnya.
Katanya lagi, Kerajaan Selangor bersedia bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri, JIM, PBT, UNHCR serta agensi berkaitan untuk memperkemaskan pendataan, pemantauan dan koordinasi di lapangan. – UTUSAN











