KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menetapkan sebarang syarat kepada ahli Parlimen pembangkang untuk menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA), sebaliknya membuka ruang kepada mana-mana wakil rakyat yang bersetuju dengan persefahaman itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, CSA bukan perkara baharu kerana pernah dilaksanakan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, persefahaman itu berasaskan prinsip sama seperti perjanjian terdahulu dan tidak sepatutnya dijadikan isu seolah-olah kerajaan mengenakan syarat untuk menyalurkan peruntukan kepada pembangkang.
“Peruntukan Parlimen berjalan seperti biasa, sama ada kepada kerajaan atau pembangkang. Peruntukan melalui ahli Parlimen itu mengikat kepada satu persefahaman seperti yang dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) semasa mereka berkuasa.
“Ketika itu saya selaku Ketua Pembangkang dan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, itulah yang kita lakukan,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Al-Muqarrabin, di sini semalam.
Anwar berkata, persefahaman itu merupakan perkembangan baik dan terbuka kepada mana-mana ahli Parlimen yang bersedia menerima kaedah sama seperti yang pernah digunakan kerajaan terdahulu.
Menurutnya, peruntukan kepada 13 ahli Parlimen yang menandatangani perjanjian berkenaan akan disalurkan selepas Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 diluluskan di Parlimen.
“Peruntukan itu mengikut perbelanjaan dalam perbincangan sekarang, perbahasan dan sebaik diluluskan akhir tahun ini, kita boleh salurkan ikut persefahaman,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan seperti CSA turut diamalkan di banyak negara demokrasi, malah Malaysia mempunyai pengalaman melaksanakannya.
Kelmarin, enam Ahli Parlimen Bersatu termasuk Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan kerajaan sebagai komitmen menyokong Belanjawan 2027.
Perjanjian itu antara lain menetapkan dua reformasi utama, iaitu mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebelum berakhirnya penggal pentadbiran semasa.
Lima lagi Ahli Parlimen Bersatu yang menandatangani perjanjian itu ialah Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin (Putrajaya), Mohd. Nazri Abu Hassan (Merbok), Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (Langkawi), Datuk Ali Biju (Saratok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).
Sementara itu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, rundingan bagi memeterai CSA sentiasa terbuka kepada mana-mana ahli Parlimen yang berminat dan tidak terhad kepada 13 wakil rakyat yang sudah menandatangani perjanjian itu.
Katanya, kerajaan bersedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana ahli Parlimen yang berhasrat menyertai persefahaman berkenaan.
“Tindakan menandatangani MoU atau CSA ini tidak terbatas kepada 13 ahli Parlimen sahaja. Ia terbuka kepada mana-mana wakil rakyat yang berhasrat datang berbincang dan memeterai CSA.
“Jadi, pintu perbincangan itu kekal terbuka,” katanya dalam sidang akhbar mingguan di Putrajaya semalam.
Menteri Komunikasi itu berkata, perkara berhubung pemeteraian CSA antara 13 Ahli Parlimen dengan kerajaan turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Menurutnya, perkembangan itu mencerminkan perkembangan positif terhadap kestabilan politik negara serta semangat kebersamaan dalam melaksanakan reformasi institusi.
Mengenai pemantauan reformasi yang dipersetujui, Fahmi berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan mekanisme penilaian bersama seperti yang pernah dilaksanakan menerusi CSA pada 2021 dan 2022.
Katanya, pendekatan itu membolehkan kedua-dua pihak mengesahkan pelaksanaan perkara yang dipersetujui dalam perjanjian berkenaan. – UTUSAN











