Ketahanan fiskal penentu ringgit tembusi paras RM4 berbanding dolar AS - Utusan Malaysia

Ketahanan fiskal penentu ringgit tembusi paras RM4 berbanding dolar AS

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keupayaan kerajaan mengekalkan disiplin fiskal ketika berdepan peningkatan kos subsidi menjadi antara faktor penentu kepada prospek ringgit menembusi paras RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh terdekat.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, ketahanan ekonomi domestik, sokongan belian terhadap mata wang tempatan serta jangkaan penurunan kadar faedah AS turut menyediakan ruang untuk ringgit mengukuh dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, katanya, momentum itu berisiko terjejas sekiranya konflik geopolitik di Asia Barat berlarutan sehingga mendorong kenaikan harga minyak mentah dunia, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Langkah kerajaan membendung kesan kenaikan harga minyak menerusi subsidi bersasar, termasuk BUDI95, menjadi antara faktor yang membantu mengekalkan keyakinan terhadap ekonomi domestik.

“Selain itu, pengurusan fiskal yang berhemat serta potensi peningkatan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dan sektor pelancongan turut menyumbang kepada pengukuhan asas ekonomi Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, sekiranya kerajaan mampu menguruskan peningkatan kos subsidi tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara secara ketara, ringgit berpeluang meneruskan momentum pengukuhan dan menembusi paras RM4 berbanding dolar AS.

“Jika kita mampu bertahan dengan jumlah subsidi yang semakin meningkat, ringgit berpotensi mengukuh ke paras di bawah RM4 berbanding dolar AS dalam tempoh tiga minggu akan datang.

“Sokongan belian terhadap ringgit turut mendorong kenaikan nilainya, manakala jangkaan penurunan kadar faedah di AS boleh menyebabkan dolar negara itu diniagakan lebih lemah,” katanya.

Mohd. Rizal berkata, prospek pengukuhan ringgit juga perlu dilihat berdasarkan kekuatan asas ekonomi negara dan bukannya semata-mata pergerakan jangka pendek yang dipengaruhi aktiviti spekulasi pasaran.

“Dalam tempoh terdekat, perkembangan konflik Asia Barat dijangka terus mempengaruhi sentimen pasaran, terutama menerusi kesannya terhadap harga minyak mentah dan jangkaan pelabur terhadap prospek ekonomi global.

“Ringgit berpotensi berada di bawah paras RM4.05 berbanding dolar AS dalam tempoh dua minggu akan datang sekiranya konflik berkenaan menunjukkan perkembangan positif ke arah penyelesaian,” katanya.

Bagaimanapun, sebarang peningkatan ketegangan yang menyebabkan harga minyak melonjak boleh meningkatkan ketidaktentuan pasaran dan menjejaskan prospek mata wang tempatan, khususnya jika tekanan terhadap perbelanjaan subsidi kerajaan semakin besar.

Sementara itu, pengukuhan ringgit turut berpotensi mempengaruhi sentimen pelabur terhadap pasaran ekuiti tempatan, meskipun kesannya terhadap Bursa Malaysia tidak semestinya seragam bagi semua sektor dan syarikat.

Mohd. Rizal berkata, perubahan nilai ringgit boleh mempengaruhi pulangan pelabur asing apabila aset tempatan dinilai semula dalam mata wang masing-masing, sekali gus menjadi antara pertimbangan dalam keputusan pelaburan mereka.

“Sehubungan itu, usaha mempromosikan pasaran ekuiti Malaysia kepada pengurus dana antarabangsa perlu dipergiat bagi menarik penyertaan modal asing dan memperkukuh daya tarikan pasaran tempatan.

“Saham syarikat tempatan yang dinilai menarik berbanding nilai buku boleh diketengahkan kepada pelabur, namun penilaian perlu turut mengambil kira prospek keuntungan, risiko perniagaan dan asas kewangan syarikat berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini