SIC harap Petronas terus taja GP Malaysia

SIC harap Petronas terus taja GP Malaysia

Azhan Shafriman Hanif
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kontrak Petronas bersama Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia dilaporkan bakal berakhir hujung tahun ini dan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berharap syarikat nasional itu dapat menyambung kerjasama tersebut sehingga 2031.

Selaku penaja utama GP Malaysia, Azhan Shafriman berkata, memandangkan penganjuran GP Malaysia telahpun dillanjutkan untuk tempoh lima tahun lagi, kerjasama dengan Petronas juga diharap dapat diteruskan.

Bagaimanapun, menurut beliau, apa sahaja keputusan muktamad mengenai penajaan biarlah ia diputuskan antara Petronas dan Dorna Sports.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Masih awal untuk saya komen mengenai perkara ini. Kita lepaskan kepada Petronas dan juga Dorna untuk berbincang dengan lebih lanjut,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran topi keledar KYT x SIC di sini, semalam.

Utusan Malaysia difahamkan Petronas mula bertindak selaku penaja utama GP Malaysia pada 2022 dan perjanjian kerjasama itu dijangka berakhir tahun ini.

Azhan Shafriman berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai hasrat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu menyaksikan Petronas terus menjadi penaja utama GP Malaysia.

Ahmad Zahid pada majlis Sembang Santai MotoGP, kelmarin berkata, beliau telahpun mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif MotoGP Sports Entertainment Group, Carmelo Ezpeleta yang menyatakan hasrat agar Petronas meneruskan peranan sebagai penaja utama GP Malaysia.

Berikutan hasrat Ezpeleta tersebut, Ahmad Zahid mengakui telahpun mengadakan pertemuan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik bagi membincangkan lebih lanjut perkara berkenaan.

Azhan Shafriman memberitahu, pihaknya sememangnya berharap syarikat yang memiliki kepentingan kerajaan itu kekal bersama GP Malaysia untuk tahun-tahun akan datang.

“Kita harap Petronas dapat kekal dengan kita pada masa-masa yang akan datang. Petronas adalah satu jenama yang amat baik, sangat sinonim dengan MotoGP dan apa-apa pun kita harap perbincangan itu dapat keputusan yang positif,” ujarnya.

Mengulas mengenai tempoh kontrak yang diharapkan SIC sekiranya Petronas meneruskan penajaan, Azhan Shafriman berkata, tempoh berkenaan biarlah selaras dengan kontrak penganjuran bersama Dorna iaitu selama lima tahun bermula 2027 hingga 2031.

ends.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini