44 projek pembangunan bernilai lebih RM79 juta untuk Melaka - Utusan Malaysia

44 projek pembangunan bernilai lebih RM79 juta untuk Melaka

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Sebanyak 44 projek pembangunan dengan kos RM79.12 juta telah dilaksanakan di Melaka merangkumi 16 projek baharu dan 28 projek sambungan tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh prasarana, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperluas peluang pendidikan dan pembangunan modal insan di negeri ini.

Beliau berkata, projek-projek utama adalah melibatkan pelaksanaan sembilan Jalan Luar Bandar (JALB) bernilai RM22.05 juta dengan satu projek baharu dan lapan projek sambungan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, Melaka turut menerima satu projek baharu Jalan Perhubungan Desa (JPD) bernilai RM6 juta, dua projek baharu di bawah Kesejahteraan Rakyat (KR) bernilai RM6 juta dan satu projek baharu di bawah Program Ameniti Sosial (PAMS) bernilai RM3 juta.

“Projek lain ialah satu projek sambungan Jambatan Luar Bandar (JMLB) bernilai RM2 juta, dua projek korporat dan pembangunan kemahiran bernilai RM1.23 juta melibatkan satu projek baharu dan satu projek sambungan serta 15 projek di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) bernilai RM24 juta melibatkan empat projek baharu dan satu projek sambungan.

“Selain itu, tiga projek sambungan di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bernilai RM9.22 juta dan lapan projek di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bernilai RM4.31 juta melibatkan empat projek baharu dan empat projek sambungan serta dua projek baharu di bawah Felcra bernilai RM1.3 juta,” katanya ketika berucap merasmikan Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA) Negeri Melaka 2026 di Dewan Felcra Ramuan China di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh bagi memastikan lebih banyak manfaat dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

Bagi pembangunan modal insan, peruntukan tambahan RM10 juta diberikan kepada Melaka TVET Centre of Excellence untuk memperkukuh latihan kemahiran dan melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri.

Ujarnya, aspek kebajikan rakyat terus diberikan perhatian apabila RM468 juta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memanfaatkan 28,386 rakyat Melaka, khususnya golongan yang memerlukan bantuan dan perlindungan sosial.

“Inilah pendekatan pembangunan yang perlu terus diperkukuh, supaya kemajuan ekonomi Melaka turut membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan membawa manfaat kepada masyarakat desa,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini