MELAKA: Pakatan Harapan (PH) membayangkan bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setelah gabungan itu memuktamadkan agihan kerusi antara PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) di peringkat kepimpinan negeri.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, namun keputusan akhir berhubung susunan keseluruhan gabungan itu akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH dijangka minggu depan.
“Keputusan kita dalam Pakatan Harapan ialah kita telah melantik Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) untuk menyelaraskan kerusi-kerusi PH.
“Di peringkat PH Melaka kita sudah selesaikan pembahagian kerusi dan semua perbincangan itu akan dibawa ke Majlis Presiden PH untuk dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Perdana PH di Bukit Baru di sini semalam.
Mengulas kaedah pembahagian kerusi, Adly yang juga Naib Presiden Amanah berkata, kuota antara parti dalam PH kekal seperti yang dipersetujui di peringkat negeri sementara menunggu pengesahan rasmi Majlis Presiden PH minggu depan.
Menurutnya, dalam perbincangan awal, Amanah diperuntukkan lapan kerusi dalam pembahagian yang telah dipersetujui sebelum itu.
“Buat masa ini kerusi-kerusi dalam PH kekal mengikut pembahagian antara parti. Untuk Amanah, kita diberikan lapan kerusi dalam konteks PH,” katanya.
Adly yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil berkata, empat daripada kerusi tersebut sudah dimuktamadkan untuk ditandingi Amanah iaitu Bukit Katil, Durian Tunggal, Telok Mas dan Merlimau.
“Empat lagi kerusi iaitu Pantai Kundor, Kuala Linggi, Sungai Rambai dan Taboh Naning masih belum dimuktamadkan dan tertakluk kepada rundingan PH Plus dan diputuskan oleh Majlis Presiden minggu depan,” katanya.
Sebelum ini, Adly memaklumkan PH Melaka telah menyelesaikan rundingan pembahagian kerusi melibatkan PKR, Amanah dan DAP, manakala sebarang keputusan berkaitan kerjasama lebih luas hanya akan diputuskan oleh kepimpinan pusat gabungan itu.-UTUSAN











