PETALING JAYA: Lima perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super menjadi penentu penting buat Sabah FC dalam usaha mengekalkan kedudukan di kelompok lima teratas.
Penolong ketua jurulatih, Alto Linus berkata, The Rhinos meletakkan sasaran untuk menamatkan pusingan pertama liga dalam kelompok lima teratas, namun ia menuntut konsistensi daripada pemain bagi memastikan hasrat itu tercapai.
Misi berkenaan perlu dimulakan dengan kemenangan ke atas pasukan di tangga tercorot, Kelantan Red Warriors (KRW) pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.
Bagaimanapun, Linus mengakui usaha mengekalkan rentak konsisten bukan sesuatu yang mudah, justeru Sabah perlu terus memperkemas persiapan dan melakukan lebih banyak kerja rumah bagi memenuhi sasaran ditetapkan.
“Kita masih ada lima perlawanan lagi untuk pusingan pertama Liga Super ini, objektif pasukan sekarang adalah sekurang-kurangnya menghabiskan pusingan pertama ini dalam kelompok lima teratas.
“Macam yang kita cakap sebelum ini, masih banyak kerja rumah perlu dibuat kerana bukan senang untuk kekal, kalau mahu capai sasaran yang dibuat, kita perlu bekerja lebih keras lagi,” katanya.
Ketika ini, Sabah berada di tangga kelima liga dengan 10 mata hasil tiga kemenangan, satu seri dan dua kekalahan, namun kedudukan mereka turut dicabar Melaka FC yang hanya ketinggalan satu mata.
Linus berkata, Sabah akan melakukan analisis terhadap KRW bagi mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki, selain meningkatkan aspek permainan yang sudah menunjukkan perkembangan positif.
“Bagi perlawanan akan datang (menentang KRW), kita akan buat analisis bagi memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada, mana-mana aspek yang sudah baik, kita cuba untuk tingkatkan lagi,” ujar Linus. – UTUSAN











