GLOBALISASI telah mengubah landskap kependudukan dunia. Penghijrahan manusia merentasi sempadan menyebabkan banyak negara yang dahulunya bersifat satu etnik kini berkembang menjadi masyarakat berbilang kaum.
Perubahan ini turut berlaku di negara Barat, termasuk Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Namun, keterbukaan tersebut tidak bermakna persoalan bangsa, identiti dan kepentingan nasional sudah tidak relevan.
Sebaliknya, beberapa negara yang menerima kemasukan imigran dalam jumlah besar kini semakin memberikan perhatian kepada soal keselamatan, identiti nasional dan kepentingan penduduk asal.
Pengurusan kemasukan warga asing, pelarian serta pendatang tanpa izin turut menjadi cabaran yang perlu ditangani secara teratur.
Malaysia juga tidak terkecuali daripada perkembangan ini. Isu kemasukan pelarian Rohingya, pendatang tanpa izin dan pengurusan pemberian kerakyatan memerlukan penelitian serius.
Dalam hal ini, dasar imigresen dan kewarganegaraan perlu dilaksanakan secara teliti, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira kepentingan negara dalam jangka panjang.
Ketika sebahagian masyarakat terlalu teruja dengan slogan globalisasi dan keterbukaan, negara Barat sendiri mula menilai semula kesannya terhadap identiti nasional. Perdebatan mengenai imigresen, integrasi masyarakat dan kedudukan budaya tempatan semakin ketara.
Perkembangan ini menunjukkan keterbukaan tidak semestinya menghapuskan keperluan sesebuah negara mempertahankan identiti dan warisan sejarahnya.
Samuel P. Huntington menerusi bukunya Who Are We? The Challenges to America’s National Identity (2004), yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu pada 2008, membincangkan perubahan identiti masyarakat Amerika akibat perkembangan demografi dan budaya.
Beliau turut menghuraikan kebimbangan sebahagian masyarakat terhadap kedudukan warisan budaya serta identiti nasional mereka.
Huntington melihat identiti bangsa dan agama sebagai unsur penting dalam pembentukan sesebuah negara. Hujah tersebut memperlihatkan bahawa persoalan jati diri tidak seharusnya diketepikan atas nama kemodenan dan globalisasi.
MELAYU TIDAK WAJAR TERUS BERPECAH
Dalam konteks Malaysia, perkembangan ini wajar menjadi peringatan kepada orang Melayu. Cabaran yang dihadapi bukan sekadar berkaitan kedudukan politik, malah melibatkan penghayatan sejarah, pengukuhan jati diri dan keupayaan mempertahankan kepentingan bangsa dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Antara perkara yang membimbangkan ialah perpecahan politik Melayu yang semakin ketara. Ketaksuban terhadap parti menyebabkan kepentingan bersama dalam soal agama, bangsa dan negara sering diketepikan. Akibatnya, kekuatan politik Melayu sukar digembleng secara berkesan walaupun parti-parti yang mewakili masyarakat tersebut mempunyai pengaruh tersendiri.
Dalam keadaan ini, pemimpin Melayu perlu melihat kepentingan bangsa melangkaui persaingan pilihan raya. Perbezaan ideologi dan pendekatan politik tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk mencari titik persamaan dalam perkara asas yang menyentuh kedudukan Melayu, Islam dan institusi raja-raja Melayu.
Pada masa sama, tuntutan politik pelbagai kelompok masyarakat perlu dinilai secara terbuka tetapi berlandaskan Perlembagaan. Perjuangan menuntut hak dan kesaksamaan tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab menghormati sejarah pembentukan negara serta kedudukan yang telah dipersetujui bersama.
Antara isu yang sering menjadi perdebatan ialah pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), kedudukan sekolah persendirian Cina, penggunaan bahasa kebangsaan dan pelaksanaan prinsip kesamarataan. Setiap tuntutan perlu diteliti berdasarkan peruntukan undang-undang, dasar pendidikan kebangsaan serta kepentingan perpaduan negara.
Perbahasan mengenai UEC, misalnya, tidak seharusnya terbatas kepada kepentingan satu kelompok sahaja. Sebaliknya, sebarang keputusan perlu mengambil kira kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, matlamat sistem pendidikan negara dan keperluan membina identiti nasional yang dikongsi bersama.
Begitu juga dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan institusi raja-raja Melayu. Perkara-perkara ini mempunyai asas perlembagaan yang perlu difahami serta dihormati oleh semua pihak.
Perbezaan pandangan boleh dibincangkan melalui saluran yang sah tanpa mempertikaikan prinsip asas kenegaraan.
KERJASAMA POLITIK DEMI KEPENTINGAN BERSAMA
Istilah Ketuanan Melayu juga sering menjadi polemik dalam perbincangan politik negara. Namun, perbahasan mengenainya perlu mengambil kira sejarah pembentukan Malaysia, kedudukan orang Melayu sebagai penduduk asal dan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 153, misalnya, memperuntukkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak, di samping kepentingan sah kaum-kaum lain.
Justeru, pemimpin Melayu tidak seharusnya bersikap apologetik apabila membincangkan kedudukan bangsa sendiri. Pada masa sama, usaha mempertahankan kepentingan Melayu tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan hak masyarakat lain yang turut dijamin oleh Perlembagaan.
Kekuatan sesebuah bangsa bukan hanya bergantung pada jumlah kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya.
Penguasaan ekonomi, pendidikan, penguasaan ilmu dan keupayaan membina kepimpinan berwibawa turut menentukan kedudukan mereka dalam masyarakat. Tanpa kemajuan dalam bidang tersebut, kekuatan politik semata-mata tidak memadai untuk menjamin masa hadapan generasi Melayu.
Oleh itu, parti-parti politik Melayu yang berpengaruh perlu mencari ruang perundingan dan kerjasama. UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas mempunyai perbezaan pendekatan serta kepentingan politik masing-masing tetapi perbezaan itu tidak sepatutnya menutup peluang untuk mencapai persefahaman dalam perkara yang menyentuh kepentingan bersama.
Cadangan kerjasama antara UMNO dan Perikatan Nasional (PN), termasuk pengalaman kerjasama dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN), boleh dijadikan ruang untuk menilai kemungkinan penyelarasan politik yang lebih tersusun menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Namun, kerjasama tersebut perlu dibina atas dasar yang jelas, bukan semata-mata percaturan untuk mendapatkan kuasa.
Yang lebih penting, perpaduan Melayu tidak seharusnya dibina atas semangat permusuhan terhadap kaum lain. Sebaliknya, kekuatan itu perlu digunakan untuk memperkukuh pendidikan, ekonomi, jati diri dan kedudukan bangsa dalam kerangka negara yang menjunjung Perlembagaan.
Pemimpin Melayu perlu kembali meletakkan kepentingan jangka panjang bangsa dan negara mengatasi kepentingan politik kepartian. Perpecahan yang berpanjangan hanya melemahkan keupayaan mereka untuk memainkan peranan dalam menentukan hala tuju negara. –UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.









