IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Deepavali 2026 peringkat negeri di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah.
Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubir.
Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan menyampaikan sumbangan kepada seramai 69 orang anak yatim dari enam pertubuhan dan rumah kebajikan di negeri ini.
Antara organisasi kebajikan yang menerima sumbangan tersebut ialah Pertubuhan Kebajikan Sinar Cahaya Kanak-kanak Yatim Larut Matang dan Selama; Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Yatim Rumah Visi (Vision Home), Ipoh dan Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Berjasa Kinta.
Turut menerima sumbangan sama ialah Pusat Pengurusan Pusat Jagaan 1Malaysia Perak; Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman dan Yayasan Amanah An-Nur Maisarah.
Sempena majlis itu, lebih 15,000 pengunjung berbilang kaum hadir menikmati pelbagai juadah termasuk mee goreng, nasi vanggey, karipap dan apam manis serta makanan tradisi masyarakat India seperti idli, puri, vadai dan idiyappam.
Sementara itu, Saarani dalam sembah ucapannya berkata, kemakmuran dan kemajuan yang dikecapi Perak hari ini adalah hasil kerjasama, pengorbanan dan sumbangan masyarakat berbilang kaum yang bersama-sama membangunkan negeri ini sejak dahulu.
Katanya, generasi terdahulu bukan sahaja berkorban tenaga dan masa untuk membina kehidupan lebih baik buat keluarga masing-masing, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan negeri. – UTUSAN










