Lapangan terbang Kota Bharu, Pulau Pinang sasaran baharu sindiket dadah? - Utusan Malaysia

Lapangan terbang Kota Bharu, Pulau Pinang sasaran baharu sindiket dadah?

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lapangan terbang di Pulau Pinang dan Kota Bharu dipercayai menjadi antara laluan alternatif penyeludup dadah susulan penggunaan teknologi pengesanan lebih canggih di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu memperluas penggunaan teknologi kamera litar tertutup (CCTV) dengan analitik kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan kegiatan penyeludupan dadah di lapangan terbang lain.

“Sekarang bila mereka tahu KLIA ada teknologi pengesanan lebih canggih, maka dia pergi ke lapangan terbang terutamanya yang ada penerbangan ke luar negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kota Bharu sekarang ada penerbangan ke luar negara, Pulau Pinang pun ada. Jadi kita kena sediakan kemudahan teknologi dan analitik ini yang lebih canggih,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan kaedah lain bagi menangani taktik penyeludupan dadah yang semakin canggih di lapangan terbang.

Sebelum ini, Ku Abd. Rahman membangkitkan bahawa peralatan pengimbas sedia ada di lapangan terbang dibina untuk mengesan bahan letupan, senjata dan logam berbahaya, bukannya dadah.

Mengulas perkara itu, Anwar mengakui peralatan pengimbas yang digunakan sebelum ini berasaskan teknologi lama sedangkan kaedah penyeludupan semakin canggih sehingga sukar dikesan melalui pemeriksaan badan.

Beliau berkata, kerajaan sudah memperoleh kemudahan analitik baharu bagi meningkatkan keupayaan mengesan dadah, selain penggunaan unit anjing pengesan K9 dalam operasi pemeriksaan keselamatan.

Bagaimanapun, katanya, kemudahan pengesanan baharu itu setakat ini hanya terdapat di KLIA sedangkan penyeludup turut menggunakan lapangan terbang lain yang mempunyai penerbangan antarabangsa.

“Memang benar sebab kemudahan yang disediakan itu kemudahan berdasarkan teknologi lama dan penyeludupan ini caranya lebih canggih dan kadang-kadang tak dapat dikesan daripada pemeriksaan badan.

“Sebab itu sekarang ini disediakan kemudahan yang dipanggil analitik baharu untuk dapat mengesan dadah selain daripada K9. Ini kemudahan baharu yang telah diperoleh tetapi baru di KLIA,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, kerajaan memandang serius kegiatan penyeludupan dadah dan barangan terlarang kerana kelemahan kawalan di mana-mana kawasan sempadan boleh menjejaskan keselamatan negara.

Katanya, kegiatan penyeludupan bukan sahaja berlaku melalui pintu masuk udara, malah turut melibatkan sempadan darat dan laut yang memerlukan penguatkuasaan lebih ketat.

“Sehubungan itu, kerajaan mengambil langkah memperkukuh kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan serta agensi penguatkuasaan berkaitan menerusi beberapa inisiatif keselamatan.

“Antara langkah dilaksanakan termasuk penggunaan unit anjing pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menjalankan pemeriksaan di kawasan pengasingan bagasi.

“Selain itu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pemodenan aset dan infrastruktur keselamatan serta meningkatkan penyelarasan maklumat secara masa nyata antara agensi penguatkuasaan bagi memperkukuh kawalan di pintu masuk negara,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini