JOHOR BAHRU: Pengembara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal berdepan pemeriksaan keselamatan yang lebih ketat dari ‘hujung rambut ke hujung kaki’, termasuklah melibatkan bagasi yang dibawa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu dijangka akan diambil susulan peningkatan kes penyeludupan dadah yang semakin kerap dilaporkan berlaku di pintu masuk utama negara berkenaan.
Menurutnya, amalan pemeriksaan sedia ada lebih menjurus kepada keselamatan penerbangan atau ‘Aviation Security’ melibatkan pengesanan senjata api dan senjata tajam.
“Namun apabila melibatkan barangan kontraban, kita akan lakukan penambahbaikan termasuk memperkukuh 17 inisiatif yang akan dilaksana Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan.
“Jadi pemeriksaan bakal menjadi lebih ketat, bermaksud ‘head to toe’. Kita periksa sungguh-sungguh sama ada penumpang atau barangan khususnya destinasi yang kita anggap berpotensi tinggi lah. Kita ada profiling dia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Latih Amal Keselamatan RTS Link Malaysia-Singapura Latihan Lapangan Bersama Rentas Sempadan (FTX) 2026 di Depoh Wadi Hana, di sini hari ini.
Pada 28 September lalu, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dilaporkan berkata, penyeludupan dadah dikesan berlaku hampir setiap hari di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.
Menurut beliau, perkara itu dikesan pihaknya selepas diamanahkan dengan tugas penyaringan di kedua-dua terminal itu bersama Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).
Sementara itu, kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan pula dilaporkan berkata pihaknya merekodkan 77 kes berkaitan kegiatan sindiket keldai dadah di KLIA dengan seramai 93 individu ditahan sejak Januari hingga 15 Oktober lalu.
Beliau turut berkata, semua kes berkenaan melibatkan rampasan dadah seberat 2,526.28 yang dianggarkan bernilai RM202.76 juta.-UTUSAN











