KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Rizky Febian mengakui kehidupannya banyak berubah selepas bergelar bapa, terutama dari segi penjagaan kesihatan dan perancangan masa depan keluarga.
Menurut Rizky, kehadiran puteri sulungnya, Zairee Selina Quinlyn Kareema Febian mendorongnya untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat demi memastikan dapat meluangkan lebih banyak masa bersama isterinya yang juga merupakan penyanyi, Mahalini dan anak.
“Banyak sekali perubahan yang berlaku dalam kehidupan saya selepas kehadiran Selina. Salah satu perubahan terbesar adalah dari segi kesihatan kerana sekarang saya mula aktif bersukan dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat.
“Antara pendorong utama adalah kerana saya mahu mempunyai umur yang lebih panjang untuk bersama isteri dan anak. Itulah yang mendorong saya untuk berdiet dan menjaga kesihatan.
“Saya mahu terus sihat supaya dapat membahagiakan mereka berdua,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Malam Rawan Diorama by Rizky Febian, hari ini.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Kesempurnaan Cinta tersebut mengakui dirinya kini berada dalam fasa menjalani kehidupan yang penuh kesyukuran selepas dikurniakan keluarga kecil yang menjadi sumber kebahagiaannya.
“Sekarang saya rasa tidak perlu meminta apa-apa lagi daripada Allah kerana Dia sudah memberikan segalanya kepada saya. Rezeki yang melimpah, isteri yang cantik dan anak yang cantik. Apa lagi yang saya mahu?
“Sekarang saya hanya perlu terus bersyukur dan menjalani kehidupan yang sihat. Saya lebih matang dalam membuat keputusan dan berfikir lebih jauh sebelum melakukan sesuatu perkara.
“Saya mula memikirkan bagaimana kehidupan Selina apabila dia semakin membesar dan bagaimana kehidupan saya bersama Mahalini dalam tempoh lima tahun akan datang,” jelasnya.
Seiring perubahan tersebut, Rizky turut mengambil langkah memperkukuhkan kedudukan kewangannya dengan meneroka bidang perniagaan selain meneruskan kerjaya dalam industri muzik.
“Saya sekarang fokus membangunkan syarikat rakaman sendiri dan pada masa sama mahu meneroka bidang lain di luar industri muzik. Saya mula belajar mengenai perniagaan dan bidang-bidang lain, termasuk membangunkan jenama minyak wangi Mahalini.
“Saya mahu terus berinovasi dan mencari peluang baharu supaya dapat membahagiakan isteri dan anak mengikut kemampuan saya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Rizky sekali lagi bakal menghiburkan peminat tanah air dalam sebuah konsert Malam Rawan Diorama by Rizky Febian yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, pada 29 November ini.
Konsert anjuran AM Entertainment dan RSI Solusi Indonesia tersebut juga turut menampilkan penyanyi undangan dari seberang, Nadhif Basalamah.











