Guru besar dijel 20 tahun, 11 sebatan libat seksual anak murid

Guru besar dijel 20 tahun, 11 sebatan libat seksual anak murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang guru besar dipenjara 20 tahun dan 11 sebatan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas dua pertuduhan berkait kesalahan seksual terhadap murid perempuannya berumur 12 tahun, lima tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Noorin Badaruddin selepas menolak rayuan akhir Anuar Kintan, 59, bagi sabitan menghasilkan pornografi serta membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mensabitkannya atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama.

Bagi pertuduhan menghasilkan pornografi kanak-kanak, mahkamah mengekalkan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini iaitu penjara sembilan tahun dan lapan sebatan di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi pertuduhan melibatkan amang seksual fizikal, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan mengikut Seksyen 14(a) akta serupa, beserta hukuman tambahan penjara satu tahun dan dua sebatan sebagai pemberatan di bawah Seksyen 16(1) akta sama.

“Rayuan tertuduh terhadap sabitan bagi pertuduhan pertama (pornografi) ditolak. Sabitan tersebut dikekalkan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi adalah juga ditetapkan.

“Kami berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan pertuduhan kedua (amang seksual fizikal) melampaui keraguan munasabah. Perintah lepas dan bebas diketepikan dan tertuduh didapati bersalah serta disabitkan atas kesalahan yang dipertuduhkan,” katanya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan secara berasingan bermula dari tarikh sabitan.

Anuar yang kini digantung tugas turut diperintahkan menjalani pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai tempoh hukuman pemenjaraan berkenaan.

Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Noorin berkata, mahkamah mendapati keterangan mangsa disokong oleh keterangan rakannya sebagai saksi pendakwaan kelima (SP5) yang hadir menemaninya ke sekolah pada hari kejadian.

“Kami tidak mendapati alasan yang mencukupi untuk menolak keterangan SP5 bahawa beliau telah menemani SP4 (mangsa) ke sekolah dan melihat SP4 meninggalkan pejabat bersama tertuduh.

“Kami mengakui bahawa SP5 tidak menyaksikan sendiri perbuatan sentuhan seksual yang didakwa. Keterangannya bukanlah keterangan langsung mengenai perbuatan yang membentuk kesalahan tersebut.

“Walau bagaimanapun, keterangannya penting dalam menilai kes pendakwaan kerana ia menyokong secara bebas keadaan-keadaan material yang diterangkan oleh SP4,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini