Jangan menang PRN Melaka dengan maki hamun – Saifuddin

Jangan menang PRN Melaka dengan maki hamun – Saifuddin

SAIFUDDIN Nasution Ismail merasmikan Bilik Gerakan DUN Paya Rumput di Krubong, Melaka semalam. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) tidak mahu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melalui kempen maki hamun, adu domba dan politik kebencian, sebaliknya memilih pendekatan berhemah dengan mengetengahkan rekod pentadbiran serta usaha menjaga kebajikan rakyat.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, oleh itu jentera parti perlu meyakinkan pengundi melalui penerangan mengenai calon, dasar serta pencapaian kerajaan dan bukannya menghina pihak lawan atau memainkan sentimen perkauman.

“Kita tidak mahu menang pilihan raya dengan kempen maki hamun. Itu bukan cara PKR yang diasuh oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas puluhan tahun kita berjuang dalam parti reformasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita bukan mahu menang pilihan raya hasil daripada adu domba dan perpecahan. Politik kita berbeza, iaitu politik yang mengajak kepada kedamaian, kasih sayang dan perpaduan. Barulah politik itu mempunyai nilai dan sifat ibadah,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput dan Majlis Ramah Mesra Bersama Jentera serta Anggota Parti Cabang Tangga Batu di Krubong, semalam.

Yang hadir sama, calon PH bagi DUN Paya Rumput, Datuk Azman Abidin dan Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim.

Mengulas kemungkinan perubahan calon, Saifuddin berkata, tiada perubahan terhadap calon PKR yang telah diumumkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata, proses pemilihan calon PKR dilaksanakan bermula daripada cadangan akar umbi dan cabang sebelum melalui beberapa peringkat tapisan yang ketat.

Katanya, proses itu merangkumi penilaian latar belakang, rekod keselamatan, komitmen terhadap parti serta keupayaan calon memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata, pemilihan calon turut mengambil kira kemampuan mereka mendekati masyarakat dan menyantuni pengundi, termasuk ketika menghadiri kenduri, menziarahi penduduk yang sakit serta membantu mangsa banjir dan kebakaran.

“Tidak mungkin ada perubahan di saat-saat akhir sebelum penamaan calon kerana kita telah memilih mereka yang terbaik untuk membuat kejutan di PRN Melaka 14 November ini,” ujarnya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai kerjasama menerusi PH Plus serta tentang calon yang bakal diketengahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini