KOTA BHARU: Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup 11 warga Myanmar menggunakan sebuah Perodua Myvi gagal apabila kenderaan itu terbabas di bahu jalan ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Chat, Palekbang, Tumpat, awal pagi tadi.
Suspek berusia 21 tahun itu dipercayai menerima upah RM100 bagi setiap migran yang dibawa.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Husain berkata, bertindak atas maklumat awal sepasukan anggota bertugas mengesan sebuah Perodua Myvi yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Chat kira-kira pukul 5.30 pagi.
Katanya, menyedari kehadiran PGA suspek cuba melarikan melarikan diri selepas diarahkan berhenti oleh anggota bertugas.
“Bagaimanapun, kereta tersebut terbabas di bahu jalan. Pemeriksaan mendapati terdapat 11 warga Myanmar terdiri daripada tujuh lelaki dan empat wanita berusia antara 18 hingga 36 tahun di dalam kenderaan berkenaan.
“Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sebelum ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, soal siasat awal mendapati pemandu terbabit mengaku menerima bayaran RM100 bagi setiap migran daripada seorang lelaki Thailand yang dikenali sebagai ‘pemandu bot’.
Katanya, bayaran secara tunai itu diberikan selepas dia mengambil migran berkenaan daripada bot sebelum membawa mereka ke lokasi ditetapkan.
“Kesemua warga Myanmar itu dipercayai memasuki Malaysia melalui pangkalan haram di kawasan Pulau Besar, Tumpat selepas berurusan dengan seorang ejen dikenali sebagai Naison.
“Suspek didapati negatif dadah menerusi ujian saringan awal air kencing,” ujarnya.
Ahmad Radzi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.-UTUSAN











