Eng Han catat pengambilan 90 peratus bagi Tangen Residences - Utusan Malaysia

Eng Han catat pengambilan 90 peratus bagi Tangen Residences

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Eng Han merekodkan kadar pengambilan kira-kira 90 peratus bagi projek Tangen Residences, sebuah menara kediaman 49 tingkat di North Kiara, Segambut, yang kini mencapai tahap pembinaan struktur tertinggi.

Projek membabitkan 413 unit kediaman itu dijadualkan diserahkan kepada pembeli pada suku keempat 2027.

Pencapaian itu turut menyumbang kepada portfolio pembangunan hartanah Kumpulan Eng Han yang merekodkan jualan lebih 4,000 unit dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.7 bilion setakat September 2026.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Kumpulan Eng Han, Pua Kai Han berkata, perkembangan perniagaan kumpulan itu berteraskan falsafah ‘Build to Create Your Future’ yang menekankan kepentingan pembangunan kediaman bukan sekadar sebagai bangunan, sebaliknya ruang untuk keluarga membina kehidupan.

“Rumah dibina daripada batu-bata dan konkrit. Namun, rumah juga merupakan tempat sesebuah keluarga membina masa depan mereka.

“Oleh itu, tumpuan kami bukan sekadar menyiapkan bangunan, tetapi turut memastikan lokasinya bersesuaian, susun aturnya praktikal dan pembangunan tersebut mampu kekal mampan untuk jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pengalaman kumpulan dalam sektor pembinaan menjadi asas kepada pendekatan pembangunan hartanahnya, dengan kedua-dua bidang itu terus menjadi tunjang utama perniagaan.

Katanya, bahagian pembinaan kumpulan itu kini mempunyai buku pesanan bernilai kira-kira RM1 bilion hasil kontrak yang diperoleh daripada pemaju dan rakan kerjasama.

“Penyelarasan antara pasukan pembinaan dan pembangunan membolehkan sebarang isu dikenal pasti serta ditangani lebih awal, termasuk pada peringkat perancangan dan reka bentuk.

“Pendekatan itu juga membantu memastikan spesifikasi dan keperluan yang ditetapkan dalam sesuatu projek dapat dilaksanakan seperti dirancang,” katanya.

Bagi Tangen Residences, pembangunan di atas tanah seluas 1.14 hektar itu membabitkan sebuah menara pegangan bebas dengan 413 unit kediaman yang menawarkan tiga atau empat bilik tidur.

Unit kediaman berkeluasan antara 1,033 hingga 1,582 kaki persegi itu ditawarkan pada harga bermula RM626,000 dengan GDV kira-kira RM358 juta.

Pembangunan berkenaan menyasarkan keluarga yang memerlukan kediaman lebih luas dan privasi, termasuk keluarga muda yang ingin memiliki rumah sendiri berhampiran ibu bapa.

Lokasinya turut memberikan akses ke kawasan Mont Kiara, Desa ParkCity dan Kepong, selain dihubungkan dengan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) serta Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Antara kemudahan yang disediakan ialah studio yoga dan tarian, dek meditasi, ruang membaca, ruang istirahat terbuka dan tertutup, pawagam langit serta Luminous Moonlight Terrace di aras 49.

Selain itu, projek berkenaan turut memperoleh Pensijilan Sementara GreenRE Silver sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap amalan pembangunan mampan.

Mengulas perancangan seterusnya, beliau berkata, kumpulan itu akan terus memperluas pembangunan hartanahnya di Semenanjung Malaysia dan Sabah menerusi beberapa projek baharu.

Jelasnya, antara projek yang dirancang ialah pembangunan pangsapuri di Aman Perdana, Klang dan Lavender Height, Senawang, selain rumah berkembar serta banglo di Greenhill Residence Fasa 5, Shah Alam.

“Di Sabah, kumpulan merancang membangunkan kondominium Montrose di Damai, Kota Kinabalu, suite perkhidmatan Gemilia Suites di Menggatal serta rumah teres setingkat di Taman Senja, Sipitang.

“Pembinaan dan pembangunan hartanah merupakan dua tunjang utama Kumpulan Eng Han, dan kami akan terus memajukan kedua-dua bidang ini secara seiring untuk membina masa depan kumpulan yang lebih kukuh.

“Kepakaran dalam bidang pembinaan membolehkan kami menghasilkan kediaman berkualiti untuk jangka panjang, manakala pengalaman sebagai pemaju memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai keperluan keluarga.

“Gabungan kedua-duanya akan terus menjadi asas pertumbuhan kumpulan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, selain memastikan kepercayaan pelanggan terus diperkukuh menerusi setiap projek yang dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini