Kewangan Islam perlu perluas pembiayaan bantu PMKS berkembang - Utusan Malaysia

Kewangan Islam perlu perluas pembiayaan bantu PMKS berkembang

ABDUL RASHEED GHAFFOUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri kewangan Islam perlu memperluas pendekatan pembiayaan dengan menggabungkan sokongan modal, pembangunan kemahiran dan akses pasaran bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berkembang secara mampan serta menyumbang lebih besar kepada ekonomi negara.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, perubahan landskap ekonomi global yang dipengaruhi risiko iklim, perubahan demografi dan ketidaktentuan geopolitik menuntut pendekatan pembiayaan lebih berkesan serta berorientasikan hasil.

Katanya, kejayaan kewangan Islam tidak seharusnya diukur berdasarkan pertumbuhan aset dan keupayaan bersaing semata-mata, sebaliknya berdasarkan sumbangannya terhadap produktiviti ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan mampan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Persoalan yang perlu diberi perhatian bukan lagi sekadar sama ada kewangan Islam mampu bersaing dan berkembang, tetapi apakah yang dapat dicapai melalui pertumbuhan itu, peluang yang boleh diwujudkan dan hasil yang mampu disampaikan,” katanya ketika berucap pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) ke-21.

Menurutnya, anjakan daripada pertumbuhan aset kepada hasil serta daripada keterangkuman kewangan kepada penyertaan ekonomi yang bermakna penting memandangkan PMKS menyumbang hampir 40 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan menyediakan hampir 50 peratus daripada jumlah pekerjaan pada 2025.

“Bagaimanapun, sebahagian besar PMKS, khususnya perusahaan mikro, masih berdepan kekangan kemahiran, perlindungan perniagaan dan akses pasaran selain cabaran mendapatkan pembiayaan,” katanya.

Sehubungan itu, BNM mengetengahkan inisiatif kewangan sosial iTEKAD yang menggabungkan pembiayaan, perlindungan dan pembangunan keusahawanan bagi membantu usahawan berpendapatan rendah membina sumber pendapatan mampan.

Program itu telah menyokong hampir 16,000 peserta menerusi program keusahawanan, pekerjaan dan perlindungan.

Dalam pada itu, beliau berkata, modal perlu disalurkan kepada sektor yang mampu menjana nilai tambah lebih tinggi dan memperkukuh kapasiti produktif negara, termasuk keselamatan makanan serta daya tahan iklim. BNM turut merujuk inisiatif i-CITA yang dilancarkan pada 2025 bagi memudah cara pembelajaran industri dalam menawarkan penyelesaian perkongsian risiko untuk sektor strategik.

“Pendekatan perkongsian risiko menerusi kewangan Islam berpotensi menyediakan alternatif pembiayaan bagi aktiviti ekonomi yang memerlukan struktur modal dan profil risiko berbeza.

“Bagi memperluas impaknya, kerjasama antara pengawal selia, institusi kewangan, pakar Syariah dan pemain industri perlu diperkukuh.

“Antara usaha yang sedang diberi perhatian ialah semakan Kerangka Kontrak Syariah, dengan kertas strategi serta draf pendedahan dijadualkan dikeluarkan tahun ini,” katanya.

Selain itu, Pelan Induk Sektor Kewangan akan datang akan memberi tumpuan kepada penyelarasan sektor kewangan dengan keutamaan sosioekonomi Malaysia, termasuk pembiayaan sektor bernilai tambah tinggi, tenaga boleh baharu dan pengukuhan daya tahan terhadap kejutan ekonomi.

Abdul Rasheed berkata, prinsip Maqasid Syariah perlu terus menjadi panduan bagi memastikan pertumbuhan industri kewangan Islam menghasilkan manfaat lebih luas kepada ekonomi dan masyarakat, termasuk menerusi sokongan kewangan serta teknikal untuk membantu PMKS halal berkembang.

“Skala menunjukkan sejauh mana perjalanan yang telah ditempuh, tetapi tujuan mesti kekal sebagai panduan utama menuju masa depan yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini