KUALA LUMPUR: Kemeriahan luar biasa melanda Stadium Merdeka apabila ribuan peminat membanjiri Stadium Merdeka bagi menyaksikan acara Mekdi All Stars Kick Off: Perlawanan Amal Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia).
Perlawanan amal anjuran McDonald’s Malaysia itu mempertemukan barisan legenda bola sepak negara dan selebriti popular tanah air demi mengumpul dana bagi menyokong RMHC Malaysia.
Pasukan Malaysia All Stars membariskan nama-nama besar bola sepak negara seperti Amri Yahya, Safawi Rashid, Norshahrul Idlan Talha, dan bekas jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe.
Mereka ditentang hebat oleh pasukan Mekdi All Stars dibarisi selebriti serta pempengaruh popular termasuk Meerqeen, Alvin Chong, MK K-Clique, dan Tuju K-Clique.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia dan Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, bola sepak mempunyai keupayaan unik untuk menyatukan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
Beliau berkata, tujuan utama perlawanan untuk menyokong RMHC Malaysia dalam usaha membantu kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan.
“Kehadiran orang ramai digalakkan membuat sumbangan sukarela yang disediakan di sekitar stadium demi membantu golongan kanak-kanak yang memerlukan.
“Kami sentiasa percaya setiap platform yang kami wujudkan harus membawa manfaat kepada komuniti sama ada melalui makanan, pengalaman menggembirakan atau peluang untuk rakyat Malaysia berkongsi kebaikan.
“Segala dana dan sumbangan awam yang berjaya dikumpul sepanjang perlawanan hari ini akan disalurkan sepenuhnya bagi menyokong pelaksanaan program teras RMHC Malaysia,” katanya dalam kenyataan sempena program itu. – UTUSAN










