PETALING JAYA: Kerangka perundangan sedia ada yang melarang Ahli Dewan Rakyat daripada bertukar parti politik, seperti yang termaktub dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, adalah memadai dan seimbang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan tidak bercadang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, buat masa ini.
“Matlamat utama peruntukan ini adalah untuk menjamin kestabilan politik negara di samping menghormati hak asasi untuk berpersatuan yang dijamin oleh Perlembagaan.
“(Bagaimanapun), buat masa ini, Kerajaan Madani tidak mempunyai cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
“Dalam hubungan ini, Kerajaan Madani sentiasa bersedia bagi meneliti perkara ini dengan lebih lanjut bersama semua parti kerajaan dan pihak pembangkang,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Azalina menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN – Beluran) yang ingin mengetahui tindakan kerajaan untuk memperkukuhkan undang-undang berkaitan lompat parti membabitkan Ahli Parlimen.










