PETALING JAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad menafikan bahawa mereka melompat parti selepas membuat pengumuman untuk mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, keputusannya bersama Nik Nazmi itu tidak menimbulkan isu lompat parti kerana mandat dikembalikan kepada rakyat terlebih dahulu apabila kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa dikosongkan.
Beliau berkata, keputusan mengosongkan dua Parlimen itu dibuat bagi menghormati mandat rakyat selain memastikan tindakan keluar daripada PKR tidak melanggar peruntukan berkaitan antilompat parti atau bon parti.
“Jadi apa yang kami buat ialah mengosongkan kerusi dan mengembalikan mandat kepada rakyat. Apabila kami keluar PKR pada Selasa ini, kami tidak lagi terikat dengan bon parti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Pengumuman Hala Tuju Politik di PJ Performing Arts Center, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau dan bekas Naib Presiden PKR itu sudah hilang kepercayaan terhadap hala tuju parti yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak pemilihan parti lalu.
“Kami bukan terlalu terdesak untuk berada dalam politik. Jika mahu terus berada dalam politik, ia mesti atas alasan yang betul dan bukan demi kepentingan sendiri,” katanya.
Tambahnya, Bersama akan bergerak sebagai parti pelbagai kaum dan tidak akan terikat dengan mana-mana gabungan politik sedia ada.
“Mengenai sama ada pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan bergantung kepada Speaker Dewan Rakyat (Tan Sri Johari Abdul) selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN










