PETALING JAYA: Dua bekas menteri, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa serta meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Kedua-duanya berkata, surat rasmi akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul esok berhubung pengosongan tersebut.
“Kami juga akan keluar dari PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) berkuat kuasa Selasa ini.
“Kami akan menulis secara rasmi kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh untuk memaklumkan keputusan itu,” kata mereka semasa Majlis Pengumuman Hala Tuju Politik di PJ Performing Arts Center di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd. Rafizi mengakui bahawa dirinya bersama rakan-rakan seangkatan kekurangan dan bukanlah yang terbaik.
“Cuma kami diberi amanah untuk membawa obor idealisme ini sementara kami masih ada kekuatan supaya boleh wariskan obor itu kepada pimpinan generasi muda.
“Saya, Nik Nazmi dan rakan-rakan akan menumpukan sepenuh tenaga kami untuk membentuk serta melatih generasi pimpinan muda ini dalam Bersama,” katanya. – UTUSAN










