84 bekas Bersatu, PKR dan Pas sertai UMNO

84 bekas Bersatu, PKR dan Pas sertai UMNO

MOHD Nazari Sabran (tengah) menerima 84 borang keahlian baharu UMNO pada Majlis Perasmian Pasti Bersatu, Pas dan PKR di Parit 4C di Sungai Manik semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Seramai 84 bekas ahli dan penyokong PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dari Pasir Salak meninggalkan parti dan menyertai UMNO, semalam.

Borang keahlian baharu mereka diserahkan kepada Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Mohd. Nazari Sabran.

Mohd. Nazari berkata, perkembangan itu membuktikan UMNO mendapat semula kepercayaan rakyat, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik.

“Syukur Alhamdulillah, ini merupakan satu perkembangan yang sangat positif buat UMNO di Sungai Manik.

“Situasi ini menggambarkan UMNO semakin diyakini dan mampu menawan kembali hati rakyat menjelang pilihan raya akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Sementara itu, bekas penyokong PKR, Muhd. Safie Hamzah, 54, berkata, keputusan menyertai UMNO dibuat atas kerelaan sendiri selepas kecewa dengan kepimpinan parti lamanya.

Menurutnya, pelbagai isu yang dibangkitkan sebelum ini tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pemimpin parti.

“Saya juga kecewa kerana pelbagai permohonan bantuan yang dibuat tidak pernah diluluskan walaupun saya berkali-kali memohon, termasuk bantuan kotak makanan.

“Malu rasanya seperti meminta sedekah dalam parti sendiri. Banyak lagi masalah yang tidak dilayan, sebab itu saya memilih untuk menyertai UMNO yang saya lihat banyak membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik,” katanya.

Muhd. Safie berkata, beliau yakin lebih ramai pengundi, khususnya golongan muda, akan memberikan sokongan kepada UMNO berdasarkan pendekatan kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Salak yang dilihat lebih dekat dengan rakyat.

“Saya menjadi ahli PKR sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 dan pernah menjadi Ketua Ranting Parit 3A, Sungai Manik.

Menurutnya, seramai 67 ahli PKR dari Cabang Pasir Salak mengambil keputusan melepaskan semua jawatan yang disandang dalam parti serta memutuskan segala hubungan dan persefahaman dengan kepimpinan PKR Cabang Pasir Salak.

“Keputusan ini dibuat kerana kami telah hilang kepercayaan terhadap parti serta barisan kepimpinan sedia ada. Keputusan ini juga dibuat atas kerelaan sendiri tanpa dipengaruhi atau didesak oleh mana-mana pihak dan merupakan hak kami dalam mengamalkan prinsip demokrasi.

“Pada masa sama, kami menyatakan sokongan kepada kepimpinan UMNO Bahagian Pasir Salak, khususnya kepada Mohd. Nazari Sabran yang kami lihat sebagai seorang pemimpin yang dekat dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, seramai lima bekas ahli Pas dan 12 bekas ahli Bersatu, turut menyertai UMNO sehingga menjadikan jumlah keseluruhan seramai 84 orang.

“Sehubungan itu, kami mengemukakan permohonan untuk menyertai UMNO Rumah Bangsa dan berharap dapat menyumbang tenaga dalam memperkukuhkan parti sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang di DUN Sungai Manik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×