ALOR SETAR: Sebanyak RM56.92 juta disalurkan melalui Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) kepada pesawah di seluruh negara sejak 2024 bagi melindungi golongan itu daripada risiko kerugian akibat bencana alam, serangan perosak dan penyakit tanaman.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, STTP antaranya menawarkan perlindungan maksimum sehingga RM3,000 sehektar bagi setiap musim penanaman.
“Pada hari ini, sebanyak RM2.42 juta manfaat STTP disalurkan secara berperingkat kepada 541 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“Selain itu, manfaat tambahan berjumlah RM423,930 kini dalam proses penilaian dan pengesahan,” katanya ketika berucap pada Program Turun Padang Bersama Pesawah di PPK H-II Kepala Batas di sini hari ini.
Beliau berkata, kawasan MADA sebelum ini menerima penyaluran manfaat sebanyak RM12.36 juta pada 2024 dan RM5.06 juta pada 2025.
“Selain itu sebanyak RM5.12 juta turut disalurkan sejak Oktober lalu kepada 1,000 pesawah di kawasan luar MADA.
Bayaran ini dikreditkan terus kepada penerima bagi membantu mereka membuat persediaan menghadapi musim penanaman seterusnya,” katanya.
Katanya, kementerian turut memberi perhatian terhadap isu kesuburan tanah sawah yang menjadi antara faktor penting dalam meningkatkan keberkesanan penggunaan input pertanian dan pengeluaran padi negara.
“Kajian Profil Tanah MADA untuk 2019 hingga 2022 mendapati sebanyak 22 peratus atau 21,917 hektar sawah kurang subur. Malah, seluas 60,650 hektar tanah mempunyai tahap keasidan dengan nilai pH di bawah 5.0 yang boleh menjejaskan proses penyerapan nutrien oleh tanaman.
“Sehubungan itu, kerajaan memperuntukkan RM20 juta menerusi Belanjawan 2026 bagi membekalkan baja foliar dan bahan kesuburan tanah kepada kawasan MADA, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan IADA Kerian.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM12.29 juta diperuntukkan kepada MADA bagi pelaksanaan dua musim penanaman pada 2026,” jelasnya.
Jelasnya, peruntukan itu memberi tumpuan kepada Projek Estet Padi menerusi Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) yang melibatkan 4,664 pesawah dengan keluasan keseluruhan 11,892 hektar. – UTUSAN











