PASIR MAS: Pesawah mempunyai hak untuk menolak menjual hasil padi kepada kilang atau pusat pembelian sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan penggredan dan kadar potongan yang dikenakan.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Luqman Ahmad berkata, kedua-dua proses itu dilaksanakan oleh pelesen membeli padi atau kilang padi komersial yang dilesenkan kerajaan, berpandukan piawaian spesifikasi dan penggredan padi.
Katanya, padi yang dihantar ke kilang akan ditimbang sebelum melalui proses penggredan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Terdapat beberapa faktor utama yang menentukan kadar potongan, termasuk kandungan air, padi rosak, padi muda atau tidak matang serta kehadiran benda asing dalam hasil tuaian.
“Kandungan wap air, misalnya, akan dikenal pasti melalui mesin bagi mengira peratusan kelembapan padi kerana pihak kilang perlu menanggung kos pengeringan. Begitu juga padi rosak. Tidak adil bagi pembeli untuk membeli padi rosak pada harga yang sama dengan padi yang tidak rosak,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kilang Padi Darul Naim di Mukim Tasek Berangan disini hari ini.
Beliau kemudian bersama Pengerusi Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri Datuk Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail meluangkan masa meninjau operasi di kilang berkenaan.
Luqman memberitahu, padi muda atau tidak matang juga boleh dikenakan potongan, termasuk apabila pesawah terpaksa menuai lebih awal akibat faktor luar jangka.
Katanya, padi yang telah dipotong perlu segera dijual kepada kilang kerana hasil itu tidak boleh disimpan.
Ujarnya, kehadiran benda asing seperti tangkai dan daun padi serta serangga dalam muatan turut diambil kira dalam proses pemutuan.
Mengulas lanjut, Luqman berkata, pesawah boleh memilih untuk menjual hasil tuaian mereka kepada pembeli lain sekiranya tidak bersetuju dengan penilaian kualiti yang dibuat.
Katanya, KPB menggalakkan perbincangan antara pesawah dan pembeli dan atau pengilang bagi menangani sebarang ketidakpuasan hati berhubung pemotongan padi.
“Kami (KPB) akan turun padang dari semasa ke semasa untuk menyiasat aduan yang diterima, manakala semua pengilang didedahkan kepada SOP berkaitan supaya proses pemutuan dapat diteliti oleh pihak berkepentingan.
“Pesawah sentiasa mempunyai hak untuk menyatakan ketidakpuasan hati secara terus. Isu pemotongan padi sehingga 50 hingga 60 peratus yang dibangkitkan menerusi media sosial perlu dilihat berdasarkan proses penggredan sebenar di kilang bukan berpandukan kepada maklumat di media sosial,” katanya-UTUSAN











