Tulang patah, sakit belakang tanda kanser?

Tulang patah, sakit belakang tanda kanser?

Apabila pesakit datang kebanyakan ingat patah tulang adalah sebab faktor usia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila seseorang mengalami sakit tulang atau tulang mudah patah, kebanyakannya beranggapan mereka mengalami tulang rapuh kerana faktor usia, kekurangan kalsium atau vitamin D akibat tidak cukup minum susu.

Hakikatnya, ramai tidak sedar dan terkejut apabila doktor mengesan sakit atau kepatahan tulang yang dialami bukan disebabkan tulang rapuh atau osteoporosis tetapi sebenarnya adalah kanser daripada organ lain yang sudah merebak ke tulang.

Keadaan ini berbeza dengan kanser tulang primer iaitu kanser yang bermula di dalam tulang itu sendiri. Sebaliknya ia adalah kanser dari organ lain yang merebak ke tulang seperti payudara atau paru-paru.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pakar Onkologi Ortopedik, Jabatan Ortopedik dan Traumatologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM), Dr. Mohamed Hafizudin Abdullah Sani berkata, kepatahan tulang adalah petanda awal di mana pesakit menghidap kanser seperti kanser payudara, prostat atau paru-paru.

“Kanser ini tidak menunjukkan simptom menyebabkan pesakit tidak sedar mereka mengalaminya.

Kebanyakan pesakit memaklumkan tidak mengalami masalah pada payudara, sesak nafas atau batuk berdarah. Namun mereka datang kerana terjatuh dan patah tulang.

“Bagaimanapun kepatahan tulang yang dialami bukan kepatahan tulang biasa. Jadi, bila pesakit datang mereka ingat patah tulang sebab faktor usia. Namun apabila kita periksa daripada sinar XRay, sebenarnya petanda awal mereka sudah menghidap penyakit kanser yang tidak dikesan lagi,” katanya.

Dr. Mohamed Hafizudin berkata, kira-kira 30 peratus pesakit yang datang ke kliniknya disebabkan patah tulang, sebenarnya menghadapi kanser pada organ lain yang tidak dikesan (diagnos).

Katanya lagi, kanser tulang bermaksud kanser berasal daripada tulang itu sendiri. Bagi kes yang patah tulang disebabkan kanser lain, ia dikenali sebagai metastasis. Maksudnya pesakit sudah ada kanser pada organ lain seperti payudara yang sudah merebak ke tulang.

“Apabila diperiksa semula organ seperti payudara dan paru-paru, baru nampak ada petanda sel kanser seperti ketumbuhan. Ini bermakna kanser pada organ itu sudah berada pada tahap lewat dan merebak ke tulang.

“Rawatan yang perlu dijalankan bukan sahaja merawat kepatahan tulang tetapi pada masa sama, mereka juga menjalani rawatan kanser pada organ yang terkesan seperti radioterapi, kemoterapi ataupun kadangkala perlu buat pembedahan,”katanya.

Kanser tersangkut di tulang

Kanser boleh merebak dari tempat asal ke bahagian badan yang lain, termasuk tulang. Proses ini dipanggil metastasis. Sel kanser boleh memasuki saluran darah atau sistem limfa dan bergerak ke bahagian badan yang lain.

Dr. Mohamed Hafizudin berkata, sel kanser juga boleh tersangkut atau menetap di kawasan tulang, kemudian membiak. Seterusnya, tulang akan menjadi lemah dan menjejaskan struktur tulang sehingga menjadi rapuh dan mudah patah.

“Pesakit akan mula berasa sakit tulang walaupun mereka masih boleh berjalan atau bergerak seperti biasa. Apabila tulang semakin lemah, dalam sesetengah keadaan, aktiviti biasa seperti berjalan atau berdiri pun boleh menyebabkan tulang patah.

“Kanser juga boleh merebak ke tulang belakang dan menyebabkan pesakit merasa sakit belakang. Rasa lemah dan kebas pada kaki juga dapat dirasai jika saraf tunjang tertekan,”katanya.

Pesakit perlu mendapatkan rawatan segera jika mengalami sakit belakang yang baru atau semakin teruk, terutama kaki semakin lemah, kebas di kawasan celah paha atau masalah mengawal kencing dan najis. Ini mungkin menandakan tekanan pada saraf tunjang.

Rawatan menguatkan tulang

Pakar Onkologi Ortopedik bertanggungjawab merawat pesakit yang mengalami kanser pada tulang, terutamanya apabila kanser merebak ke tulang sehingga menyebabkan tulang patah.

“Rawatan yang dijalankan oleh Onkologi Ortopedik adalah membuang sel kanser yang terdapat pada tulang melalui prosedur pembedahan. Bagi menguatkan atau menstabilkan tulang yang patah, besi, skru atau implan khas digunakan.

“Tujuan utama pembedahan dan rawatan yang dilakukan adalah untuk membantu pesakit pulih dan kembali kepada keadaan asal setakat yang boleh. Sebagai contoh, pesakit patah tangan, apabila dirawat, dia boleh menggunakan tangan seperti biasa untuk makan, mandi dan sebagainya tanpa bantuan orang lain,” katanya.

Pembedahan tulang belakang diperlukan jika tumor menekan saraf tunjang bagi membuang sebahagian ketumbuhan dan menstabilkan tulang belakang.

Agen penguat tulang seperti Bisphosphonates (seperti zoledronic acid) atau Denosumab dalam bentuk pil atau suntikan membantu menguatkan tulang, mengurangkan risiko patah tulang, serta melegakan sakit tulang.

Kurang kesedaran, malu

Dr. Mohamed Hafizudin berkata, kurang kesedaran, rasa malu dan sikap menganggap gejala sebagai perkara biasa boleh menyebabkan kanser lewat dikesan dan menular ke bahagian tubuh lain.

“Sesetengah pesakit lambat mendapatkan rawatan kerana mereka menganggap gejala yang dialami adalah perkara biasa, kesan penuaan atau sesuatu yang tidak berbahaya.

“Akibatnya, apabila mereka pergi ke hospital, kanser mungkin sudah berada pada tahap lanjut dan sudah merebak ke bahagian tubuh yang lain.

“Bagi wanita, mereka mengabaikan ketulan pada payudara kerana menyangka ia tidak berbahaya. Ada juga yang mengalami batuk berdarah sedikit tetapi menganggapnya perkara biasa. Sebarang pendarahan faraj walaupun sudah menopaus perlu diperiksa kerana ia boleh menjadi tanda awal kanser rahim, walaupun terdapat juga punca bukan kanser,” katanya.

Tambahnya, bagi lelaki pula jangan memandang remeh apabila kerap membuang air kecil atau sukar membuang air kecil, mengalami disfungsi ereksi iaitu kesukaran mendapatkan atau mengekalkan ereksi.

Sesetengah lelaki menganggap masalah ini berlaku kerana faktor usia. Namun, masalah kencing boleh menjadi salah satu tanda masalah prostat, termasuk kanser prostat, walaupun terdapat juga banyak punca lain.

“Jangan anggap semua masalah kesihatan berpunca daripada usia. Sesetengah gejala mungkin menandakan penyakit yang memerlukan rawatan. Pengesanan awal sangat penting. Mendapatkan pemeriksaan lebih awal boleh membantu mengenal pasti penyakit sebelum ia menjadi lebih serius.

“Kemajuan teknologi dan rawatan perubatan menyebabkan manusia dapat hidup lebih lama tetapi apabila usia meningkat, risiko untuk mendapat kanser juga bertambah. Ini antara sebab kes sebegini semakin kerap ditemui,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini