PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) digesa segera menempatkan doktor tambahan di Hospital Ranau dan hospital lain di Sabah yang berdepan kekurangan petugas pada tahap kritikal termasuk mendapatkan bantuan sementara dari Semenanjung jika perlu.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Sivanaesan Letchumanan berkata, penempatan tiga pegawai perubatan sebagai bantuan sementara dialu-alukan, namun KKM perlu memastikan sokongan tenaga kerja yang mencukupi dan berterusan berikutan seriusnya masalah tersebut.
Katanya, urusan pertukaran dan pelantikan doktor perlu diselaraskan dengan ketibaan pegawai pengganti yang telah disahkan serta disokong penilaian kesan terhadap perkhidmatan dan pelan kontingensi supaya perkhidmatan kesihatan penting tidak terjejas.
“Hospital Ranau kehilangan 11 daripada 19 pegawai perubatannya tetapi hanya seorang daripada tujuh pengganti dikenal pasti melapor diri. Hospital itu kini beroperasi dengan hanya sembilan pegawai perubatan termasuk pengarahnya.
“Laporan doktor bekerja selama 48 hingga 72 jam berturut-turut tanpa rehat mencukupi amat meresahkan. Keadaan kerja seperti ini tidak boleh berterusan kerana menimbulkan risiko serius terhadap keselamatan pesakit dan kesejahteraan doktor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Sivanaesan berkata, pengesahan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bahawa 67 peratus pegawai perubatan pengganti dari luar negeri itu gagal melapor diri selepas urusan pelantikan tetap baru-baru ini amat membimbangkan.
Katanya, kekurangan kira-kira 245 pegawai perubatan di Sabah susulan urusan berkenaan menunjukkan masalah di Ranau bukan kes terpencil, sebaliknya mencerminkan kelemahan lebih meluas dalam perancangan tenaga kerja dan pengekalan doktor.
“Surat pelantikan tidak dapat memenuhi keperluan tenaga kerja di jabatan kecemasan dan wad atau mengambil alih tugas doktor yang keletihan.
“Kejayaan tidak diukur berdasarkan jumlah jawatan tetap yang diumumkan tetapi bilangan doktor yang benar-benar melapor diri, kekal berkhidmat dan tersedia untuk merawat pesakit,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, MMA mengalu-alukan pengumuman 750 jawatan tetap pegawai perubatan untuk Sabah dan Sarawak, namun kekurangan tenaga kerja sedia ada perlu ditangani segera memandangkan pemohon yang berjaya hanya dijangka melapor diri pada Februari 2027.
Katanya, KKM perlu memperincikan pakej pekerjaan dan insentif sebelum permohonan dibuka pada 9 November supaya doktor mengetahui lokasi penempatan, sokongan yang bakal diterima serta peluang kerjaya mereka.
“Pakej itu mesti merangkumi imbuhan berdaya saing, penambahbaikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW), elaun kesukaran yang bersesuaian serta bantuan perpindahan yang diberikan terlebih dahulu.
“Penginapan sesuai, aturan penempatan dan pertukaran yang boleh dijangka serta peluang jelas untuk latihan kepakaran dan kemajuan kerjaya juga perlu disediakan. Perkhidmatan di kawasan yang kurang mendapat liputan kesihatan wajar diberikan pengiktirafan bermakna,” katanya.
Sivanaesan berkata, pertimbangan doktor berkaitan keluarga, kewangan dan kerjaya adalah munasabah serta perlu ditangani sekiranya kerajaan serius untuk menarik dan mengekalkan mereka di Sabah dan Sarawak.
“Pelantikan tetap penting tetapi status itu sahaja tidak akan menyelesaikan masalah jika halangan dalam pengambilan dan pengekalan doktor tidak ditangani.
“Kita tidak boleh terus mengulangi pendekatan pengambilan yang sama, membiarkan masalah berlarutan dan mengharapkan hasil berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa KKM menyiarkan bilangan sebenar petugas, kekosongan jawatan, kadar pegawai pengganti melapor diri serta kemajuan pemulihan perkhidmatan khususnya di fasiliti yang menghadapi kekurangan petugas kritikal.
Katanya, keperluan minimum bilangan petugas bagi memastikan keselamatan mesti ditetapkan dengan campur tangan segera apabila keperluan tersebut tidak dapat dipenuhi.
“Doktor yang masih bertugas tidak boleh dibebankan dengan akibat perancangan tenaga kerja yang tidak memadai. Waktu kerja selamat, rehat mencukupi dan kesinambungan penjagaan pesakit mesti diutamakan.
“Pesakit berhak mendapat penjagaan selamat dan tepat pada masanya manakala doktor berhak mendapat keadaan kerja munasabah serta sokongan yang diperlukan untuk memberikan penjagaan tersebut,” katanya. – UTUSAN











