Di tengah-tengah kawasan bandar yang pesat membangun, siapa menyangka masih terdapat kedai makan yang menawarkan hidangan dan minuman pada harga bawah RM20.
Terletak di Taman Tuanku Jaafar, Senawang, kedai ABC Pilih Kasih menawarkan air batu campur (ABC) dan lai chi kang pada harga RM5 hingga RM6 semangkuk mengikut jenis.
Pemilik, Khir Azam Ibrahim, 58, berkata, harga makanan dan minuman yang dijualnya dikekalkan pada kadar berpatutan sejak 16 tahun lalu memandangkan kebanyakan pelanggannya adalah terdiri daripada pelajar sekolah.

Selain itu, kedainya turut menyediakan pelbagai hidangan berasaskan sup yang sesuai dinikmati pelanggan daripada pelbagai peringkat usia.
“Ketika mula berniaga, harga ABC RM3.50 semangkuk dan bertahan selama tujuh tahun. Selepas itu kita naikkan 50 sen demi 50 sen.
Pilih Kasih
Alamat: Jalan Tttj S/B, Taman Tuanku Jaafar, 71450 Seremban, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: Setiap Isnin hingga Jumaat (11.30 am – 7 pm)
Jenis makanan: Minuman, aneka sup dan makanan barat
“Kalau kita jual mahal sangat, kesian dengan budak sekolah,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Selain ABC, kedai berkenaan turut menyediakan beberapa pilihan makanan seperti sup daging, sup perut, sup urat keting, set nasi, bihun sup, mi sup dan makanan barat yang dijual pada harga antara RM6.50 hingga RM13 semangkuk.
Menurut anak jati Kedah itu, resipi sup yang disediakan di kedainya adalah hasil air tangannya sendiri.
Katanya, beliau mula memasak seawal pukul 6.30 pagi sebelum membuat persiapan lain untuk operasi kedai yang bermula sekitar pukul 11.30 pagi yang diuruskan isterinya, Zarina Sham Mohd. Yunus, 50, bersama dua anak perempuan mereka.
“Pukul 6.30 pagi saya sudah mula masak, terutama bahagian sup. Semua saya siapkan supaya apabila isteri datang pukul 11.30 pagi, kedai boleh terus beroperasi,” katanya.
Ketika dicuba, kuah sup berkenaan terasa segar dengan rasa rempah yang sederhana dan tidak terlalu kuat, menjadikannya ringan serta mudah dinikmati selain porsi isinya yang banyak.
Menurut Khir Azam, kebanyakan pelanggan yang memesan sup juga jarang meninggalkan hidangan mereka berbaki kerana hampir kesemua mangkuk yang dikembalikan kepadanya kosong.
“Jarang mangkuk berisi. Kebanyakannya pelanggan habiskan sup itu,” katanya.
Bagi pelanggan yang datang ke kedainya, hidangan ABC pula seakan-akan menjadi pelengkap untuk dinikmati bersama menu lain.
16 Tahun Penuh Nostalgia
Keistimewaan kedainya bukan sekadar pada harga dan hidangan, malah hubungan Khir Azam dengan pelanggan yang sudah terjalin selama bertahun-tahun sehingga menganggap mereka seperti anak sendiri.
Menurutnya, beliau turut berasa terharu kerana ada pelanggan yang mula datang ketika masih bersekolah dan terus kembali sehingga dewasa serta berkeluarga.
“Ada yang dari sekolah, bercinta pun ya, sampai sudah ada enam anak masih makan di sini. Kadang-kadang ada yang isteri nak bersalin pun nak ABC kedai ini, mereka seperti anak saya sendiri.
“Budak-budak yang dulu makan di sini, sekarang sudah keluar jauh. Ada yang dari Amerika Syarikat pun pernah datang dan buat perjumpaan di sini. Itu yang saya rasa seronok,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, dia tidak menyangka kedainya dikunjungi oleh sekumpulan pengunjung dari Korea Selatan kerana tidak pernah membuat promosi secara aktif menerusi media sosial.
“Mungkin mereka jumpa melalui Google atau kawan-kawan. Mereka datang, ambil gambar, buat siaran langsung dan kongsi di media sosial. Secara tidak langsung, orang luar mula mengenali kedai saya,” katanya.
Ganjaran Buat Pelajar Cemerlang
Lebih menarik, Khir Azam yang turut dikenali sebagai Acik Azam menawarkan hidangan percuma kepada pelajar yang bersekolah di sekitar kawasan berkenaan dan memperoleh sekurang-kurangnya lima A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pelajar hanya perlu menunjukkan keputusan peperiksaan bagi menikmati hidangan pilihan mereka secara percuma.
“Kalau dapat lima A ke atas, makan percuma. Mereka datang tunjuk keputusan. Ada yang datang beritahu Acik Azam, saya dapat lima A.
“Kadang-kadang sampai empat orang datang satu meja, masing-masing tunjuk keputusan. Itu keseronokan bagi budak-budak,” katanya.
Kenapa ‘Pilih Kasih’?
Nama ‘Pilih Kasih’ bukan membawa maksud negatif, sebaliknya merujuk kepada sesuatu yang dipilih berdasarkan takdir.
“Pilih Kasih ini bukan sesuatu yang negatif. Ada perkara yang positif. Bagi saya, sesiapa yang datang ke kedai ini adalah takdir yang telah Allah tentukan,” katanya.-UTUSAN










