PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP) mendedahkan terpaksa membelanjakan ratusan ribu ringgit bagi menanggung kos guaman untuk membela guru yang berdepan tindakan undang-undang oleh ibu bapa dan pelajar.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, ketiadaan mekanisme perlindungan undang-undang khusus kepada warga pendidik di negara ini menyebabkan banyak guru diheret ke mahkamah walaupun akhirnya dibuktikan tidak bersalah.
“Keadaan itu menjejaskan maruah, reputasi dan kesejahteraan emosi mereka yang sudah pun berlaku dan sukar dipulihkan.
“Guru yang akhirnya dibebaskan tetap menanggung tekanan emosi yang serius. Nama baik tercalar, trauma berpanjangan dan ada yang hilang keyakinan untuk terus mendidik secara profesional,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan penggubalan Akta Perlindungan Guru Malaysia bagi melindungi kebajikan warga pendidik, khususnya berkaitan pelaksanaan beban tugas, aspek keselamatan serta hak profesional guru.
Ahmad Zahid berkata, perubahan zaman telah memberi cabaran besar kepada profesion perguruan sehingga ada tindakan daripada ibu bapa kepada guru yang mahu memberi didikan kepada guru.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, keadaan itu berpunca daripada kelemahan perlindungan sedia ada apabila guru terdedah kepada tindakan undang-undang dan tuduhan tidak berasas tanpa sebarang rangka kerja khusus untuk mempertahankan autoriti serta hak profesional mereka.
Katanya, situasi tersebut menyebabkan sebahagian guru kini terpaksa mengajar dalam keadaan takut dan tertekan, bimbang setiap keputusan atau tindakan profesional akan dicabar, disalah tafsir atau dibawa ke peringkat perundangan oleh ibu bapa.
“Apabila guru terpaksa memikirkan soal keselamatan diri dan risiko disaman, fokus terhadap kualiti pengajaran dan pembangunan holistik murid akan terjejas. Ini realiti yang sedang berlaku di sekolah,” katanya.
Beliau memberi amaran, jika keadaan itu dibiarkan berterusan tanpa perlindungan undang-undang yang jelas dan berstruktur, semangat serta komitmen guru terhadap profesion perguruan akan terus terhakis, sekali gus memberi kesan langsung kepada kualiti sistem pendidikan negara.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik cadangan agar akta sedia ada digubal dan menegaskan ia perlu menjadi keutamaan nasional bagi memastikan guru dilindungi secara adil, tanpa menafikan hak pelajar serta ibu bapa.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkukuh perlindungan guru bukan bertujuan melindungi salah laku, sebaliknya memastikan guru dapat menjalankan tanggungjawab profesional mereka tanpa intimidasi, ugutan atau tekanan luar yang tidak berasas. – UTUSAN










