MELAKA: Rakyat akan terus menikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, meskipun minyak mentah dunia dijangka melonjak sehingga AS$130 setong berikutan konflik Asia Barat yang tidak berkesudahan.
Kerajaan tidak mahu rakyat terbeban dengan krisis bekalan global, walaupun perlu menanggung subsidi bahan api mencecah RM45 bilion setahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memilih menanggung peningkatan kos subsidi berbanding memindahkan beban kepada rakyat yang berdepan pelbagai komitmen perbelanjaan harian.
Beliau berkata, harga minyak mentah dunia yang sebelum ini berada pada paras AS$70 setong ketika Belanjawan 2026 dibentangkan, kini melonjak kepada AS$120 hingga AS$130 setong, sekali gus meningkatkan perbelanjaan negara.
“Kos yang ditanggung oleh kerajaan akan mencecah antara RM42 bilion hingga RM45 bilion setahun, tetapi apa pilihan? Kalau kerajaan terbeban, lebih baik kerajaan terbeban daripada membebankan rakyat dan ibu bapa kita. Itu dasar Kerajaan Madani yang kita pegang.
“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk melindungi rakyat daripada tekanan kenaikan kos sara hidup berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang turut menyebabkan peningkatan harga bahan api di beberapa negara lain,” katanya.
Beliau berucap pada Program Sentuhan Kasih Madani dan Peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara (NCLAP30) di pekarangan Stadium Hang Jebat di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali.
Perdana Menteri berkata, kenaikan harga minyak turut memberikan tekanan kepada negara lain termasuk Eropah yang berdepan peningkatan kos kehidupan terutama berkaitan pengangkutan, makanan dan kemudahan kesihatan.
Katanya, bahan api merupakan keperluan penting rakyat untuk urusan harian termasuk berulang-alik ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah dan mendapatkan rawatan di hospital.
Jelasnya, kenaikan harga minyak secara mendadak akan meningkatkan beban perbelanjaan isi rumah, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata, peluncuran NCLAP30 mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh usaha menangani kos sara hidup melalui pelbagai inisiatif termasuk program Jualan Rahmah yang membolehkan rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
Perdana Menteri berkata, usaha mengawal harga barangan tidak boleh bergantung kepada satu pendekatan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk petani, nelayan dan pekebun bagi memastikan bekalan mencukupi serta dapat dipasarkan pada harga berpatutan.
Anwar menegaskan, kejayaan pembangunan negara tidak seharusnya dinilai berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan jumlah pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu diukur berdasarkan keupayaan kerajaan menyelesaikan masalah rakyat.
“Ekonomi yang melonjak itu kita bangga tetapi kita juga harus melihat sama ada ekonomi yang berkembang itu dapat menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu siasatan kes kematian tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Allahyarham Noorizwan Zulkefly dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.
Beliau berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail telah dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes berkenaan dan perkembangan siasatan perlu dimaklumkan kepada keluarga Allahyarham.
“Saya mengambil maklum kehadiran keluarga Allahyarham Noorizwan Zulkefly untuk menyerahkan surat rayuan kepada saya hari ini,” katanya.
Allahyarham ditahan di IPD Cheras berkait siasatan di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Pada 30 September lalu, Noorizwan dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.52 pagi, 1 Oktober. – UTUSAN











