PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar dikurniakan kesembuhan selepas terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Gerik, Perak awal pagi tadi.
Beliau berharap Allah SWT mempermudah segala urusan rawatan serta mengurniakan ketabahan dan kekuatan kepada Wadi Annuar dalam menempuh ujian berkenaan.
“Semoga Ustaz segera pulih dan kembali berbakti menyampaikan ilmu serta dakwah kepada masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ustaz Wadi dilaporkan mengalami kemalangan bersama beberapa individu lain dan masih menerima rawatan di Hospital Gerik, Perak susulan mengalami kesakitan di bahagian perut dan dada.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan berada dalam keadaan stabil. – UTUSAN











