PETALING JAYA: Selepas mengesahkan tiket ke final Piala Sultan Johor (SOJC) buat kali pertama sejak 13 tahun lalu, skuad hoki remaja kebangsaan mahu meneruskan momentum positif apabila berdepan Kanada di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, hari ini.
Ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, perlawanan menentang Kanada akan dimanfaatkan untuk menguruskan kecergasan pemain menjelang aksi final yang dijadualkan berlangsung esok sama ada menentang Jepun atau pun Pakistan.
“Kita mempunyai 18 pemain dan semua sudah memberikan khidmat masing-masing di atas padang. Ada beberapa pemain utama seperti Adam (Johari) dan Nabil (Yusof) yang mungkin mengalami kecederaan kecil atau ketegangan otot dan perlu diberikan rehat.
“Menentang Kanada, kita mahu bermain tetapi pada masa sama mengelakkan kecederaan dan keletihan kerana jadual perlawanan yang rapat,” katanya.
Kejohanan SOJC mengunakan format pertandingan round robin dengan dua pasukan teratas layak ke final manakala tiga dan empat beraksi di penentuan tempat ketiga terbaik.
Mengulas kemenangan dramatik 3-2 ke atas Pakistan, kelmarin, Nor Saiful berkata, pemain memperoleh pengalaman berharga apabila terpaksa bangkit memburu gol penyamaan dalam perlawanan yang berlangsung sengit.
Menurutnya, skuad negara mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol pada suku pertama dan kedua, namun gagal memanfaatkannya sebelum lawan kembali menguasai permainan.
Malaysia kemudian terpaksa meningkatkan tekanan selepas ketinggalan 1-2, sebelum berjaya mendapatkan gol tambahan untuk memastikan kemenangan 3-2.
“Ini satu pengalaman untuk pemain belajar bagaimana untuk bangkit dan menghadapi situasi sukar. Saya mengucapkan tahniah kepada mereka kerana berjaya mengharungi perlawanan itu,” katanya. – UTUSAN











