Pusat pemindahan khas ikan, elak kerugian banjir

Pusat pemindahan khas ikan, elak kerugian banjir

AZMAN Ibrahim (kanan) melihat lembu baka besar yang dipamerkan Program Himpunan Ruminan 2026 di Pekan Jabi, Besut, Terengganu. - UTUSAN / WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Penyediaan sebuah pusat pemindahan sementara khas kepada penternak akuakultur untuk memindahkan ikan ketika musim tengkujuh dapat membantu me­ngurangkan risiko kerugian jika sangkar ternakan mereka dinaiki atau berlaku perubahan air.

Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, pusat itu dibina di Kampung Rhu 10, Setiu, dekat sini mampu menampung pemindahan ikan sehingga puluhan tan metrik dalam satu masa.

Beliau berkata, langkah berkenaan adalah antara pelan kecemasan kerajaan negeri bagi memastikan bekalan makanan terus terjamin meski­pun penternak berdepan risiko banjir dan perubahan cuaca.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila tiba musim banjir, ikan yang diternak dalam sangkar boleh dipindahkan sementara ke tangki khas di pusat berkenaan sebelum dikembalikan semula ke kolam atau sangkar selepas keadaan kembali pulih.

“Ia penting untuk mengelakkan kerugian besar ter­utama bagi penternak ikan air payau yang berdepan risiko kematian ikan akibat perubahan keadaan air ketika musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui pada Program Himpunan Ruminan 2026 di Pekan Jabi di sini, semalam.

Menurut Azman, limpahan air dari hulu ketika banjir boleh menyebabkan kadar kemasinan air menurun sekali gus menjejaskan spesies ikan yang sensitif terhadap perubahan tersebut termasuk ikan kerapu dan siakap.

Katanya, perubahan suhu air yang menjadi lebih sejuk serta penurunan kandungan oksigen turut meningkatkan risiko kematian ikan secara besar-besaran.

Beliau berkata, situasi itu adalah cabaran tahunan yang perlu dihadapi penternak khususnya mereka yang mengusahakan ternakan ikan air payau di kawasan berisiko banjir.

“Walaupun kita tahu mu­sim tengkujuh tiba setiap tahun penternak tetap perlu meneruskan aktiviti kerana mereka mempunyai sasaran pasaran dan tempoh tuaian tertentu.

“Sebagai contoh, ada penternak ikan air payau yang menyasarkan pasaran Tahun Baharu Cina pada Februari ini, jadi mereka tidak boleh menghentikan operasi begitu sahaja ketika musim banjir,” katanya.

Azman berkata, pusat ber­kenaan disediakan kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu dan jumlah kemudahannya terus ditambah bagi me­ningkatkan keupayaan menghadapi risiko bencana.

Katanya, semua penternak yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan boleh memanfaatkan kemudahan tersebut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini