MANCHESTER: Bekas pengurus Newcastle, Eddie Howe dilaporkan berminat untuk menjadi pengurus Manchester United seterusnya sekiranya kelab itu memecat Michael Carrick.
Howe kini berehat daripada dunia bola sepak, namun menganggap jawatan di Old Trafford sebagai satu peluang yang sangat menarik, biarpun United kini sedang bergelut.
Menurut laporan, United sedang mempertimbangkan semua pilihan yang ada susulan permulaan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) terburuk dalam sejarah penyertaan mereka.
Biarpun masih tiada kata putus, Howe dilaporkan berminat untuk mengambil alih tugas di Old Trafford sekiranya pihak kelab membuat keputusan untuk memecat Carrick.
Menurut laporan Football Insider, pengendali berusia 48 tahun itu terbuka untuk berbincang dengan pegawai United jika jawatan terbabit dikosongkan dan bersedia membawa perubahan.
Legenda United, Roy Keane sebelum ini turut memilih Howe sebagai pengendali baharu kelab itu ketika mereka berdepan krisis pertukaran jurulatih.
“Saya akan pilih Eddie Howe. Saya suka dia. Saya suka apa yang dia buat, cara pengurusannya. Dia sudah urus banyak perlawanan. Apabila pasukannya berada dalam prestasi terbaik, mereka beraksi dengan bagus.
“Saya tahu pasti ada pengkritik, tapi saya suka apa yang dia lakukan di Newcastle dan Bournemouth. Dia sudah lalui antara 700 hingga 800 perlawanan, dan dia masih muda.
“Saya suka ketenangannya, saya rasa kadang-kadang United perlukan sikit ketenangan seperti itu,” kata Keane.
Ketika ini, Carrick mengharungi kempen yang mengecewakan apabila United berada pada kedudukan ke-13 dalam carta liga selepas hanya mengumpul enam mata daripada enam perlawanan pembukaan liga.
Meskipun menerima penelitian dan kritikan yang kian meningkat, United tidak merancang untuk membuat pertukaran pengurus secara tergesa-gesa dan pihak atasan kelab mahu memberikan Carrick peluang untuk memulihkan keadaan.
Walau bagaimanapun, Howe berada dalam kedudukan yang kukuh sebagai pilihan sandaran utama di mana pengendali dari England itu difahamkan melihat jawatan Red Devils sebagai satu peluang yang amat menarik untuk dipertimbangkan. – AGENSI/UTUSAN











