LIVERPOOL: Pemain tengah Liverpool, Alexis Mac Allister kecewa selepas The Reds belum bersedia menawarkan kontrak baharu kepadanya.
Sebelum ini, Liverpool sudah memaklumkan kepada Mac Allister bahawa mereka tidak berada dalam kedudukan terbaik untuk menawarkan terma baharu.
Situasi itu berbeza dengan rakan sepasukannya di posisi tengah, Dominik Szoboszlai dan Ryan Gravenberch yang masing-masing melanjutkan kontrak awal tahun ini.
“Saya menerima berita bahawa kelab tidak berada dalam situasi untuk menawarkan saya kontrak baharu yang sudah tentu membuatkan saya sangat sedih,” katanya.
Kontrak Mac Allister bersama Liverpool masih berbaki dua tahun dan dia mengakui mempunyai beberapa pilihan untuk meninggalkan Anfield pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Namun, pemain itu memilih untuk kekal selepas kehadiran bekas pengendali Bournemouth, Andoni Iraola, yang mencetuskan keyakinan baharu sepanjang tempoh pramusim.
Mac Allister berkata, terdapat sesuatu yang istimewa dirasakannya bersama pasukan ketika persiapan musim baharu, sekali gus menguatkan keputusannya untuk terus bersama Liverpool.
“Saya rasa sekarang saya berada di kelab yang betul dan mempunyai pemikiran yang betul untuk memberikan 100 peratus buat kelab ini,” katanya.
Sementara itu, Iraola menegaskan masih ada masa untuk membincangkan masa depan Mac Allister, namun dia tidak mahu isu itu mengganggu fokus pemain di atas padang. – AGENSI/UTUSAN










